Khamis, 11 Oktober 2018 | 3:19pm
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), Raja Azmi Raja Nazuddin. - Foto Muhd Zaaba Zakeria

Langkawi dijangka jana hasil pelancongan RM9 bilion

LANGKAWI: Pendapatan pelancongan berjumlah RM9 bilion dijangka dapat dijana di Langkawi menjelang 2020, dipacu oleh pengembangan terminal Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LGK).

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), Raja Azmi Raja Nazuddin berkata, pihaknya membelanjakan RM86 juta bagi kerja membesarkan terminal sebagai usaha untuk memenuhi keperluan empat juta penumpang setiap tahun berbanding 1.5 juta setahun sebelum ini.

“LGK kini berada pada kedudukan yang lebih baik bagi menyokong pertumbuhan Langkawi sebagai destinasi pelancongan yang popular.

“Sehingga kini, pulau berkenaan menerima kira-kira 1.3 juta pelancongan pada tahun ini,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Seminar Lapangan Terbang Kecil dan Sedang Membangun (SEAS) 2018 Majlis Lapangan Terbang Antarabangsa (ACI) di sini, hari ini.

Tahun ini, acara berkenaan menampilkan peneraju serta pakar terkemuka industri membincangkan pelbagai topik berkaitan sektor penerbangan dan cabaran seperti lapangan terbang pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi, operasi lapangan terbang komersial, perubahan iklim, keselamatan, pematuhan dan ancaman keselamatan siber.

Raja Azmi berkata, kerja membesarkan terminal di lapangan terbang itu siap pada Ogos tahun ini dan ia akan meletakkan pulau itu sebagai destinasi pelancongan yang popular dan pada masa sama mengukuhkan Malaysia sebagai hab global pilihan.

“Peningkatan kapasiti ini adalah sejajar dengan tumpuan untuk meningkatkan pengalaman penumpang di lapangan terbang dan memacu kecekapan perkhidmatan.

“Kami juga telah meningkatkan kecekapan pelbagai operasi lapangan terbang dengan menambah jumlah daftar masuk serta kaunter imigresen, pintu pelepasan, fasiliti tandas dan memasang sistem pengendalian bagasi automatik,” katanya.

Raja Azmi berkata, lapangan terbang bersaiz kecil seperti LGK dari semasa ke semasa mula membentuk menjadi hab sekunder di Malaysia.

“Tahun lalu, LGK mencatatkan pergerakan trafik penumpang sekitar 2.7 juta, peningkatan sebanyak 4.2 peratus berbanding tahun lalu,” katanya.

Antara syarikat penerbangan yang beroperasi di LGK termasuklah AirAsia, FireFly, Malaysia Airlines, Malindo, Scoot dan China Southern.

124 dibaca
Berita Harian X