Khamis, 11 Oktober 2018 | 1:32pm

Swasta digalak terbabit labur bangunkan lapangan terbang

LANGKAWI: Kerajaan menggalakkan penyertaan sektor swasta untuk melabur dalam kerja-kerja pengembangan lapangan terbang di seluruh negara.

Kerajaan menggalakkan penyertaan sektor swasta untuk melabur dalam kerja-kerja pengembangan lapangan terbang di seluruh negara, kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.

Beliau berkata pembangunan lapangan terbang wajar diteruskan, kerana kemudahan itu penting bagi pertumbuhan ekonomi dan sektor pelancongan.

“Kekangan bajet untuk pembangunan adalah cabaran terbesar kerajaan. Namun, kita tidak boleh menunggu sehingga kerajaan mempunyai kemampuan kewangan, sebelum dapat memulakan pembangunan (pengembangan) lapangan terbang di seluruh negara,” katanya.

Beliau berkata demikian sidang akhbar selepas merasmikan Seminar Lapangan Terbang Kecil dan Sedang Membangun (SEAS) 2018 Majlis Lapangan Terbang Antarabangsa (ACI) di sini, hari ini.

Loke berkata, kerajaan sedang meninjau model pembiayaan baharu, disokong oleh suntikan modal sektor swasta, khususnya oleh Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB).

“Kerajaan menjamin bahawa pembangunan lapangan terbang akan terus berkembang. Kami sedang mengkaji bersama MAHB untuk menyemak semula perjanjian operasi (OA) baharu,” katanya sambil menambah bahawa kepentingan MAHB akan dikekalkan memandangkan pengendali lapangan terbang itu telah berkhidmat sejak 26 tahun lalu.

Loke berkata, kerajaan juga mahu memastikan bahawa pelabur akan mendapat pulangan mencukupi bagi pelaburan disebabkan manfaat besar diperoleh daripada industri penerbangan.

“Lapangan terbang adalah kemudahan penting dan mandatori bagi pembangunan ekonomi negara. Tanpa lapangan terbang yang cekap, kita tidak boleh mengembangkan ekonomi dengan cekap kerana lapangan terbang mempunyai dua fungsi termasuk meningkatkan sektor pelancongan serta kargo udara,” katanya.

Beliau menambah, kerajaan sedang merundingkan OA bersama MAHB, sambil mengkaji model baharu untuk membiayai pengembangan lapangan terbang.

Di bawah OA semasa, kerajaan sepatutnya melaksanakan pembangunan lapangan terbang di seluru negara.

Namun, katanya MAHB juga beroperasi dalam persekitaran yang sukar selain kekangan dan pelbagai syarat serta peraturan operasi seperti kenaikan yuran pengguna setiap tahun.

“Kita mahu menjadikan persekitaran operasi lapangan terbang menjadi lebih fleksibel dari segi aturan cukai, khususnya yuran pengguna yang dikenakan ke atas MAHB,” katanya.

Dalam pada itu, Loke berkata kerajaan tidak akan melaksanakan levi pembangunan lapangan terbang yang diamalkan di Singapura bagi melaksanakan pengembangan lapangan terbang di seluruh negara.

Levi itu disasar untuk membiayai pembangunan lapangan terbang dan infrastruktur berkaitan untuk pengendali lapangan terbang di Singapura.

Cukai baharu itu juga terpakai untuk penumpang perjalanan dari Lapangan Terbang Changi serta penerbangan yang dihubungkan.

103 dibaca
Berita Harian X