Khamis, 11 Oktober 2018 | 1:22pm
Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Norazman Ayob berucap semasa Persidangan China di Hilton Hotel, Kuala Lumpur. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

Rundingan RCEP dijangka muktamad akhir tahun

KUALA LUMPUR: Kerajaan berharap rundingan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) membabitkan semua 16 anggota dapat dimuktamadkan menjelang akhir tahun ini.

Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Norazman Ayob, berkata konflik dagangan di antara China dan Amerika Syarikat (AS) telah mempercepatkan proses awal untuk memuktamadkan RCEP.

Katanya, ketika di Jakarta baru-baru ini, semua perunding bersetuju yang rundingan RCEP perlu dimuktamadkan secepat mungkin.

“Setakat yang RCEP maklum, konsensus yang dicapai adalah untuk memuktamadkan rundingan perjanjian ini pada akhir tahun ini, Minggu ini menteri-menteri perdagangan dalam perjanjian ini akan berjumpa untuk berbincang dan menyelesaikan sebahagian isu dan menyediakan hala tuju untuk perunding bergerak ke hadapan.

“Kita juga menjangkakan menerima petunjuk daripada Perdana Menteri apabila beliau menghadiri sidang kemuncak ASEAN bulan depan, dengan sebahagian besar pemimpin ASEAN mahu mendengar pandangannya mengenai masa depan pertubuhan serantau itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi soal jawab selepas menyampaikan ucaptama pada Persidangan China 2018 di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Norazman berkata, Malaysia sekali lagi menegaskan yang ia menyokong ‘Inisiatif Jalur dan Jalan’ (BRI).

Katanya, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Darell Leiking akan mengetuai delegasi Malaysia ke Ekspo Import Antarabangsa China yang akan diadakan di Shanghai bulan depan.

“Kita juga merancang untuk memulakan pusingan kedua Program Kerjasama Ekonomi dan Dagangan 5 Tahun antara Malaysia dan China bermula 2019.

“Pada kali ini, kerjasama ini mahu meneroka bidang baharu yang mana kerajaan mahukan dewan perniagaan antara kedua-dua negara untuk memacu kerjasama berkenaan.

“Pada pusingan pertama lalu, kerjasama yang dijalankan antaranya membabitkan akses pasaran dan membangunkan kapasiti lebih besar antara kedua-dua negara,” katanya.

54 dibaca
Berita Harian X