Selasa, 22 Mei 2018 | 3:04pm
DATUK Seri J Jayasiri. - Foto Halim Salleh

Kerajaan baharu perlu buat keputusan mengenai perjanjian perdagangan

KUALA LUMPUR: Kerajaan berkemungkinan akan mengkaji semula beberapa perjanjian perdagangan seperti Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) dan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP).

Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri J Jayasiri, berkata perkara itu berkemungkinan berlaku disebabkan peralihan kepimpinan kerajaan baru-baru ini.

Beliau berkata, kerajaan baharu akan memutuskan sama ada Malaysia akan terus menjadi sebahagian daripada perkongsian perdagangan itu.

"MITI masih belum ada menteri, tetapi perkara ini akan dikaji semula dan keputusannya akan diputuskan oleh kerajaan baru," katanya selepas majlis pelancaran SEMICON Southeast Asia 2018 di sini, hari ini.

Jayasiri berkata, keputusan itu akan dikaji semula oleh menteri baharu yang dilantik untuk mengesahkannya, dengan menyatakan ia memerlukan beberapa perundangan untuk dipinda.

Beliau berkata, rundingan perjanjian perdagangan kini masih berjalan dan optimis bahawa kerajaan baru akan menyokong RCEP dan CPTPP.

"Walaupun kesebelas negara telah berunding untuk CPTPP, terdapat enam negara masih perlu mengenal pasti perjanjian perdagangan untuk berkuatkuasa," katanya.

11 anggota CPTPP ialah Australia, Brunei, Kanada, Chile, Jepun, Malaysia, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura dan Vietnam.

RCEP adalah perjanjian perdagangan bebas antara 10 negara ASEAN yang membabitkan Australia, China, India, Jepun, Korea Selatan dan New Zealand.

Jayasiri berkata, prestasi perdagangan Malaysia meningkat untuk dua tahun yang lalu, lebih baik daripada sasaran.

"Pada tahun ini kami menjangkakan perdagangan Malaysia meningkat 5.9 peratus dan berdasarkan keputusan suku pertama, kami yakin ia berada di landasan yang betul.

"Prestasi perdagangan negara juga terkesan dengan persekitaran luaran, tetapi ia menunjukkan tanda positif untuk eksport Malaysia," katanya.

Ketika mengulas mengenai SEMICON Southeast Asia 2018, ia adalah penganjuran terbesar sejak ia diadakan pada 2015 menyaksikan 300 pempamer dengan 400 gerai pameran.

Pameran itu dijangka menarik lebih daripada 8,000 pengunjung di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), yang menampilkan tiga pavilion bertema, empat pavilion global dan forum teknologi untuk menangani isu utama dalam rantaian bekalan industri elektrikal dan elektronik (E&E).

Jayasiri berkata, sektor E&E menjadi pemain utama bagi pembuatan Malaysia, menyumbang sekitar 36.7 peratus daripada jumlah eksport.

"Kami optimis sektor E&E akan menyumbang sebahagian besar kepada eksport," katanya.

Namun apa yang lebih penting lagi katanya, Malaysia harus mempunyai lebih banyak persekitaran mesra perniagaan dan ekosistem sokongan dengan keperluan lain untuk bakal pelabur.

Sementara itu, Presiden SEMI Southeast Asia, Ng Kai Fai, berkata pertumbuhan sektor E&E global dijangka meningkat ketara untuk beberapa tahun akan datang.

Tahun lalu, pendapatan sektor itu melepasi AS$400 bilion, meningkat 21 peratus tahun ke tahun.

"Kami percaya sektor itu akan berkembang tahun ini kepada AS$450 bilion dan akan melepasi AS$500 bilion pada 2019," katanya sambil menambah bahawa ia adalah potensi besar untuk sektor elektronik di Asia Tenggara.

Kai Fai berkata, pihaknya meramalkan pemangkin untuk sektor itu berkembang adalah dengan menggunakan Internet Segalanya (IoT), kepintaran buatan (AI), kenderaan tanpa pemandu dan pengkomputeran awan.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Azman Mahmud, pula berkata agensinya memperoleh hampir RM485 juta pelaburan diluluskan pada suku pertama 2018.

"Pelaburan itu sebahagian besarnya di Pulau Pinang, baik dari pelabur tempatan dan asing," katanya.

Azman berkata, agensi itu berhasrat menggunakan skim insentif yang sama di bawah Akta Promosi Pelaburan.

"Memandangkan industri bergerak ke arah teknologi yang lebih tinggi, tentulah MIDA akan meningkatkan insentif untuk menarik lebih banyak projek teknologi tinggi pada masa akan datang," katanya.

646 dibaca
Berita Harian X