;
Khamis, 17 Mei 2018 | 6:03pm
Foto fail

Bank Negara kekal telus

KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) berkata, ia akan terus mengamalkan dasarnya yang telus, objektif dan profesional dalam memacu pertumbuhan ekonomi negara ini.

Bank pusat itu juga kekal komited dalam melaksanakan mandatnya bagi memastikan pertumbuhan ekonomi Malaysia terus mapan.

Gabenornya, Tan Sri Muhammad Ibrahim, berkata pihaknya akan terus menggalakkan kestabilan monetari dan sistem kewangan serta memupuk sektor kewangan yang kukuh dan progresif.

Beliau berkata, pihaknya akan terus bekerjasama rapat dengan pihak berkepentingan untuk mengekalkan kemampanan ekonomi secara keseluruhannya.

Katanya, pihaknya sentiasa melakukan pembaharuan bagi memastikan kestabilan pasaran kewangan domestik dan seterusnya menjalankan mandat yang diberikan sebaiknya.

"Momentum pertumbuhan positif semasa dan keadaan kewangan secara pastinya menyediakan kami peluang berharga untuk melaksanakan pembaharuan struktur dan menyelesaikan kelemahan dalam ekonomi.

"Kerjasama dengan agensi berkaitan seperti Kementerian Kewangan dan Majlis Penasihat Kerajaan sedang berjalan dan kami akan terus membantu mereka," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media mengumumkan prestasi ekonomi suku pertama 2018, di sini, hari ini.

BNM adalah badan berkanun di bawah Akta Bank Negara Malaysia 2009 dan peranannya adalah mempromosikan kestabilan monetari dan kewangan negara.

Muhammad berkata, dengan Akta Bank Negara Malaysia 2009, struktur bank pusat itu sudah berubah berbanding sebelumnya, yang mana ia menjadi lebih telus, objektif dan profesional serta mempunyai lembaga pengarah yang bebas.

Beliau berkata, BNM terbuka kepada sebarang cadangan yang boleh mempertingkatkan sumbangan bank pusat itu kepada ekonomi dan negara.

227 dibaca
Berita Harian X