Khamis, 17 Mei 2018 | 5:27pm

Agensi penarafan perlu penjelasan GST sifar

KUALA LUMPUR: Moody's Investors Service memerlukan penjelasan daripada kerajaan Malaysia mengenai langkah pengimbang yang akan dilaksanakan setelah memansuhkan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

Penganalisis Kanan/Naib Presiden Kumpulan Risiko Moody's Anushka Shah berkata agensi penarafan itu melihat tindakan memansuhkan GST sebagai kredit negatif jika dilaksanakan tanpa langkah-langkah pelarasan.

"Walaupun kerugian hasil tahun ini akan diimbangi oleh harga minyak lebih tinggi, perkembangan ini bukan struktur atau berperanan sebagai pengganti tetap GST itu sendiri.

"Tahap di mana langkah pengimbang - jika ada - akan membantu memulihkan kerugian hasil daripada GST, dan membolehkan kami menentukan kesan yang tepat terhadap kedudukan fiskal Malaysia, pada seterusnya," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pada masa sama, katanya, kadar sifar GST akan meningkatkan kebergantungan kerajaan terhadap hasil berkaitan minyak, malah mengurangkan asas percukaian.

GST yang ditetapkan pada kadar enam peratus oleh kerajaan terdahulu, kini diturunkan kepada kadar sifar (kosong), berkuatkuasa 1 Jun ini.

Ia susulan daripada pelaksanaan janji manifesto kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang mengumumkan akan menghapuskan GST dalam tempoh 100 hari pertama, jika mereka berjaya memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Sementara itu, Penganalisis dan Pengarah Projek Khas Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Prof Dr Aimi Zulhazmi Mohd Rashid, berpendapat penurunan harga barangan mungkin akan berlaku dalam tempoh enam bulan ke atas namun ia bergantung kepada faktor lain yang mempengaruhi harga seperti kos barang mentah, kos pengilangan, logistik dan pengangkutan.

"Saya berpendapat, sifar GST tidak menjadikan harga barang turun mendadak dalam satu ke tiga bulan ini kerana kebanyakan peniaga telah memfaktorkan GST dalam struktur harga barangan mereka," katanya.

B

agaimanapun, beliau berkata, sebarang mekanisme cukai baharu yang akan digunakan kerajaan selepas ini perlu dipastikan tidak berlaku sebarang kebocoran dan dilaksanakan lebih bijak serta efektif.

"Saya juga yakin, jika cukai jualan dan perkhidmatan (SST) dikutip secara efektif dan berkesan serta tidak menyusahkan pengguna, ia menjadi alternatif lebih baik kepada negara," katanya.

Pensyarah Kanan Putra Business School, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Ahmed Razman Abdul Latiff, pula berkata, kadar sifar GST boleh membantu meningkatkan sentimen berbelanja dalam kalangan pengguna kerana kebanyakan penganalisis menjangkakan harga produk dan perkhidmatan akan turun mulai 1 Jun ini.

"Bagaimanapun, langkah penguatkuasaan perlu berterusan dan lebih tegas terutama dari segi pemantauan harga bagi mengelak peniaga mengaut keuntungan daripada keadaan itu," katanya.

460 dibaca
Berita Harian X