Selasa, 17 April 2018 | 5:03pm
PROFESSOR Emeritus Dr. Zakariah Abdul Rashid menyampaikan taklimat pada Taklimat Ekonomi Korporat MIER ke-23 yang diadakan di Kuala Lumpur. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Ringgit kukuh lonjak kuasa beli rakyat

KUALA LUMPUR: Pengukuhan nilai ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), yang dijangka berterusan tahun ini, akan meningkatkan lagi kuasa beli rakyat dan pada masa sama mengurangkan tekanan inflasi.

Pengarah Eksekutif Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), Profesor Emiratus Dr Zakariah Abdul Rashid, berkata secara peribadi beliau mengunjurkan nilai ringgit akan terus mengukuh kepada antara RM3.65 hingga RM3.70 sedolar menjelang hujung tahun ini.

Beliau berkata, prestasi kadar tukaran asing dalam tempoh tiga bulan lalu amat memberangsangkan dengan ringgit berlegar pada paras RM3.80 sedolar. Nilai Malaysia wang tempatan mencatat paras terendah sekitar RM4.50 sedolar, pada awal 2017.

Katanya, jika pergerakan mata wang tempatan itu kekal stabil, ia akan menjadi agak mudah bagi pengurusan ekonomi negara.

"Apabila ringgit stabil, harga (barang dan perkhidmatan) dalam negara akan turun, sekali gus akan meningkatkan kuasa beli rakyat.

"Berdasarkan pemerhatian kami, pengukuhan ringgit juga memperlihatkan kadar inflasi mencatatkan penurunan ketara," katanya pada sidang media selepas menyampaikan taklimat Ekonomi Korporat ke-23 MIER di sini, hari ini.

MIER mengunjurkan kadar inflasi menyederhana pada tahun ini untuk lebih stabil pada 3.0 peratus dan diunjurkan meningkat sedikit kepada 3.2 peratus tahun hadapan.

Zakariah berkata, pengukuhan kadar tukaran asing mengurangkan tekanan inflasi import.

"Meskipun harga minyak mentah meningkat melepasi paras AS$60 setong, kadar tukaran asing mencatatkan pengukuhan yang lebih ketara berbanding kenaikan harga minyak mentah, sekali gus akan menyederhanakan kadar inflasi," jelas beliau.

Pada Januari 2018, kadar inflasi adalah 2.7 peratus dan merosot kepada 1.4 peratus pada Februari 2018, yang mana ia adalah pertumbuhan paling perlahan sejak Oktober 2016.

Mengenai pertumbuhan ekonomi negara, Zakariah berkata, MIER menaikkan unjuran ekonomi Malaysia kepada 5.5 peratus tahun ini berbanding 5.4 peratus yang diunjurkan sebelum ini.

Beliau berkata, permintaan domestik akan terus menjadi pemacu utama pertumbuhan ekonomi negara tahun ini.

Katanya, permintaan luaran yang kukuh akan memacu permintaan domestik.

335 dibaca
Berita Harian X