Isnin, 16 April 2018 | 9:10pm
Ketua Pegawai Eksekutif Ekuinas, Syed Yasir Arafat Syed Abd Kadirl. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

Ekuinas beli kawalan kepentingan FVG

KUALA LUMPUR: Ekuiti Nasional Bhd (Ekuinas) memulakan pembabitan di dalam industri perkhidmatan pembuatan elektronik (EMS), dengan membeli kepentingan kawalan di dalam pengeluar komponen turnkey tempatan, Flexi Versa Group Sdn Bhd (FVG) bernilai kira-kira RM330 juta.

Perniagaan FVG bermula pada 1994, manakala syarikat pegangan pelaburan ditubuhkan pada 2013 bagi memacu visi pengurusan mewujudkan sebuah kumpulan EMS.

Dalam tempoh beberapa tahun, syarikat berkenaan melakar beberapa pencapaian penting di dalam perniagaannya.

Hari ini, FVG mengendalikan tujuh kilang di Malaysia dan dua kilang di luar negara. Ia juga menjadi pengeluar kontrak Tahap 1 dan Tahap 2 kepada jenama elektronik pengguna global utama seperti Sony, Panasonic, Onkyo, Sony, Dyson dan JVC Kenwood.

Ketua Pegawai Eksekutif Ekuinas, Syed Yasir Arafat Syed Abd Kadir, berkata strategi pelaburannya adalah untuk mengenal pasti syarikat Malaysia yang mantap dan berpotensi tinggi, dengan keinginan untuk berkembang di peringkat serantau.

Katanya, asas kukuh FVG dan potensi pasarannya adalah faktor utama dalam proses Ekuinas membuat keputusan.

"Trek rekod kewangan dan keupayaan operasinya, khususnya kemampuannya untuk berintegrasi dengan pelbagai entiti serta merangka strategi, mencerminkan kedudukannya yang kukuh dengan pendapatan kira-kira RM300 juga, selain bertindak sebagai asas pertumbuhan di peringkat serantau dan tempatan," katanya dalam satu kenyataan.

Kedudukan FVG diperkukuhkan lagi dengan keupayaan pengeluaran syarikat yang meluas, kehadiran di peringkat serantau dan kapasiti sedia ada bagi menyokong arah pertumbuhan.

Kehadiran syarikat itu di empat negara ASEAN, iaitu Singapura, Indonesia, Vietnam dan malaysia memberikannya kelebihan untuk memanfaatkan kedudukan negara berkenaan sebagai hab pengeluaran bagi produk automotif serta elektrik dan elektronik.

Syed Yasir Arafat berkata, selain daripada itu, pengalaman operasi keseluruhan pengurusan kanan FVG adalah penting semasa Ekuinas membuat penilaian.

Katanya, pengalaman mereka untuk menukar sebuah perniagaan yang rugi kepada menguntungkan benar-benar ditunjukkan melalui trek rekod syarikat itu.

"Tanpa diragui, satu pasukan pengurusan kanan yang berkebolehan adalah penting. Visi mereka juga sama signifikan, terutama dalam mencarta pertumbuhan dan strategi masa depan syarikat," katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif FVG, Chng Boon Huei, berkata kerjasama dengan Ekuinas mencerminkan matlamat serupa kedua-dua pihak iaitu mengembangkan perniagaan di peringkat serantau.

"Mereka akan memainkan peranan penting membantu kami membentuk institusi entiti, mengembangkan portfolio pelanggan dan meletakkan syarikat ini sebagai pengeluar komponen dan turnkey yang versatil.

"Justeru, saya yakin ini akan membuka lembaran baharu pertumbuhan dan membolehkan kami berkembang serta memainkan peranan lebih besar dalam mereka bentuk, mengeluar dan membangunkan produk pelanggan," katanya.

Ini pelaburan kedua Ekuinas dalam sektor pembuatan selepas membeli syarikat perunding dan reka bentuk pencahayaan tempatan, Davex (Malaysia) Sdn Bhd pada Disember lalu.

220 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »