Isnin, 16 April 2018 | 3:53pm

Johor julung kali anjur pameran ikan hiasan

GELANG PATAH: Johor sebagai pengeluar utama ikan hiasan di Malaysia, mengambil inisiatif menganjurkan pameran dan pertandingan ikan hiasan buat julung kalinya bagi mempromosi industri ikan itu.

Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Johor, Zamani Omar, berkata pameran dan pertandingan yang akan dianjurkan di Mydin Mall, Mutiara Rini, Skudai, dekat sini pada 20 hingga 22 April itu adalah untuk memperkenalkan spesis ikan hiasan yang diternak di negeri ini selain tumbuhan akuatik yang ada.

"Kita mahu mempromosikan industri ikan dan tumbuhan hiasan di negeri ini serta mahu memperkenalkan Johor sebagai pengeluar utama ikan selain tumbuhan hiasan.

"Sebanyak 15 spesies ikan hiasan antaranya kelisa, kap, angel, emas, kalui, kelah dan tapah akan dibawa ke pameran itu nanti untuk diperkenalkan kepada orang ramai.

"Kita juga mahu orang ramai tahu Jabatan Perikanan komited dalam pembangunan industri ikan hiasan," katanya ketika sidang media di Kompleks Perikanan Negeri Johor di sini, hari ini. Turut hadir, Timbalan Pengarah Perikanan negeri, Dr Erniyta Osman.

Zamani berkata, pihaknya mensasarkan 20,000 pengunjung pada program anjuran jabatan itu dengan Kerajaan Negeri Johor selain kerjasama Kelab Ikan Betta Johor, Persatuan Ikan Betta Johor dan pengusaha ikan hiasan di negeri ini.

Bagi pertandingan ikan hiasan, Zamani berkata, ia akan membabitkan spesis ikan betta, laga dan gapi yang turut dianjurkan pada peringkat antarabangsa dengan sembilan negara luar turut mengambil bahagian.

"Pertandingan ikan hiasan ini pernah dianjurkan pada peringkat kelab dan persatuan ikan hiasan, namun kita tampil untuk menganjurkannya buat julung kali pada peringkat antarabangsa.

"Kita sudah menerima penyertaan 1,600 peserta dari Malaysia, Singapura, Thailand, Indonesia, China, Taiwan, Hong Kong, Filipina, Amerika Syarikat dan Vietnam," katanya.

Selain itu, kata Zamani, turut diadakan pameran ikan hiasan tropika air tawar dan marin, demonstrasi dan pertandingan menghias akuarium serta pertandingan mewarna.

Katanya, orang ramai yang berkunjung ke pameran itu turut berpeluang mendapatkan khidmat nasihat mengenai cara ternakan ikan dan tumbuhan hiasan.

Mereka yang berminat menyertai pertandingan itu atau mempunyai sebarang pertanyaan boleh menghubungi urusetia di talian 013-7799622.

266 dibaca
Berita Harian X