Isnin, 16 April 2018 | 3:28pm

UEM Sunrise rancang pembangunan komersial RM15 bilion

KUALA LUMPUR: UEM Sunrise Bhd (UEM Sunrise), antara pemaju hartanah terkemuka negara merancang pembangunan komersial bercampur di Lembah Klang yang membabitkan nilai pembangunan kasar (GDV) berjumlah RM15 bilion.

Pembangunan itu dijalankan menerusi pemerolehan kawasan strategik seluas 29.12 hektar di Kepong, berdekatan Taman Metropolitan Kepong yang merangkumi perancangan dalam tempoh 15 tahun.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif UEM Sunrise, Anwar Syahrin Abdul Ajib, berkata perjanjian pembangunan itu adalah komitmen berterusan syarikat untuk terus mengembangkan portfolio di Lembah Klang, yang mana permintaan bagi produk berkualiti terus kukuh.

"Kami berhasrat untuk meneruskan kejayaan pembangunan kami sebelum ini iaitu Solaris Dutamas dan Mont' Kiara.

"Kami teruja untuk menawarkan prospek komponen yang mampu mewujudkan sebuah komuniti mapan dengan memanfaatkan kepakaran kami dalam pembangunan perbandaran dan bangunan bertingkat," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Sunrise Bhd, unit milik penuh UEM Sunrise memeterai Perjanjian Langganan Pemegang Saham (SSA) bersyarat dengan Mega Legacy (M) Sdn Bhd (MLM) melalui Mega Legacy Equity Sdn Bhd untuk bekerjasama membangunkan kawasan seluas 29.12 hektar itu.

Tanah itu dicadangkan untuk pembangunan komersial bercampur termasuk pangsapuri servis dan unit komersial.

Anwar Syahrin berkata, pembangunan berkenaan dijangka dapat menyumbang secara positif kepada pendapatan syarikat pada masa depan dan meningkatkan profil syarikat sebagai pembina komuniti bereputasi.

70 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »