Isnin, 16 April 2018 | 2:56pm

Kadar pengangguran susut kepada 3.3 peratus pada Februari

KUALA LUMPUR: Kadar pengangguran Malaysia susut kepada 3.3 peratus pada Februari 2018, turun 0.1 peratus berbanding bulan sebelumnya, kata Jabatan Perangkaan.

Berdasarkan perbandingan tahun ke tahun, kadar pengangguran pada Februari 2018 juga susut 0.2 peratus berbanding tahun lalu, demikian menurut laporan Perangkaan Tenaga Kerja Februari 2018 yang dikeluarkan hari ini.

Jabatan itu berkata, jumlah pekerja meningkat 0.3 peratus pada Februari 2018 kepada 15.23 juta berbanding 15.19 juta sebulan sebelumnya.

Mengenai kadar penyertaan tenaga pekerja pada Februari 2018, jabatan itu berkata angkanya kekal pada 68.2 peratus berbanding bulan sebelumnya.

"Berdasarkan perbandingan tahunan ke tahun, kadar penyertaan tenaga kerja pada Februari 2018 meningkat 0.4 peratus berbanding bulan yang sama tahun lalu," katanya.

Jabatan itu berkata, 31.8 peratus atau 7.11 juta penduduk dalam umur bekerja (15-64 tahun), berada di luar tenaga pekerja pada Februari 2018, meningkat daripada 7.07 juta pada bulan sebelumnya.

"Kumpulan ini terdiri daripada suri rumah, pelajar, pesara dan mereka yang tidak berminat untuk bekerja," katanya.

-- BERNAMA

1200 dibaca
Berita Harian X