Isnin, 12 March 2018 | 4:55pm
PRESIDEN Asia Tenggara Semi (S) Pte Ltd, Ng Kai Fai. - Foto Saifullizan Tamadi

PKS perlu cepat memanfaat Industri 4.0

KUALA LUMPUR: Industri elektrik dan elektronik (E&E) tempatan, khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS), tidak boleh ketinggalan dalam berhadapan perubahan pesat yang dipacu inovasi teknologi.

Presiden Asia Tenggara Semi (S) Pte Ltd, Ng Kai Fai, berkata ini kerana dalam era pendigitalan hari ini yang dikenali sebagai revolusi perindustrian ke empat atau Industri 4.0, teknologi dapat menggalakkan perniagaan dengan meningkatkan produktiviti secara ketara, yang mana keseluruhan operasi kini boleh beroperasi secara automasi dan sistem boleh diurus dari jarak jauh.

"Perkilangan pintar atau Industri 4.0 adalah realiti tetapi Asia Tenggara harus pantas mengguna pakainya secepat mungkin.

"Dengan gangguan teknologi merubah dunia kita hari ini, saya jangka lebih banyak syarikat melihat nilai pelaburan mereka direalisasikan berikutan teknologi ini mempercepatkan kewujudan lebih banyak produk dan perkhidmatan tersendiri," katanya dalam satu temubual di sini, baru-baru ini.

Kai Fai berkata, di Malaysia pemain E&E tempatan, khususnya PKS, bernasib baik kerana mendapat sokongan padu kerajaan yang adalah penggerak utama dalam menggalakkan mereka beralih kepada Industri 4.0 dan mengguna pakai teknologi baharu.

Beliau berkata, dengan kemajuan teknologi diguna pakai secara meluas ke dalam sistem operasi, pengilang boleh mengenal pasti status tempahan pengeluaran, apa yang ketinggalan, apa yang kurang dan boleh meramal langkah perlu diambil bagi mengekalkan operasi berjalan lancar.

"Ini merangkumi automasi data, menjejaki bil pelanggan dan saya tidak fikir kos adalah faktor besar. Tetapi kebanyakan PKS tempatan tidak sedar ada banyak bantuan yang ditawarkan kerajaan," katanya.

Pengkomputeran perkilangan katanya, juga membolehkan syarikat menangani peningkatan kos buruh dan mengurangkan penggantungan terehadap tenaga buruh.

Kai Fai berkata, Industri 4.0 dapat membantu peserta E&E serantau mendapatkan kembali penguasaan yang ia hilang kepada China.

Teknologi digital yang mengguna pakai Industri 4.0 boleh membantu pengilang ASEAN mengatasi kadar produktiviti rendah untuk mendapatkan kembali kedudukan tinggi sebagai pengilang dunia, katanya.

Dalam perkembangan lain, Kai Fai berkata, pemain utama dalam rantaian pengeluaran elektronik global, akan berkumpul di SEMICON Southeast Asia 2018 Mei depan.

Ia akan diadakan di Pusat Dagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) Kuala Lumpur pada 8 hingga 10 Mei depan.

Antara topik yang akan dibincangkan pada SEMICON Southeast Asia 2018 ialah isu dan cabaran yang dihadapi industri dalam era pendigitan hari ini, termasuk isu berkaitan bakat.

241 dibaca
Berita Harian X