;
Ahad, 11 March 2018 | 3:27pm
KERETAPI East Coast Rail Link (ECRL) laluan rel Pantai Timur.

Sedia pelan induk lebih awal, lancarkan pelaksanaan ECRL

KUALA LUMPUR: Pelan induk yang merangkumi hala tuju pembangunan bagi negeri yang terbabit dalam projek berstatus mega seperti Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) perlu dirancang lebih awal bagi memastikan pelaksanaannya mencapai matlamat yang ditetapkan.

Rakan Pengurusan Kumpulan Thought Partners Group Consulting, Abi Sofian Abdul Hamid, berkata keadaan akan menjadi terlalu lewat jika pihak yang terbabit menunggu projek berkenaan siap tanpa terlebih dahulu memulakan usaha perancangan berkaitan.

"Sektor infrastruktur negara kini menyaksikan satu lagi fasa perkembangan dengan pelaksanaan beberapa projek mega seperti ECRL yang mana ia menjadi antara penyelesaian bagi industri pengangkutan negara.

"Bagaimanapun, pada masa sama, di kalangan kerajaan negeri yang menerima impak daripada projek itu perlu merancang pelan induk hala tuju masing-masing untuk memanfaatkan peluang yang diperoleh daripada projek berkenaan," katanya dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Beliau berkata, mereka yang terbabit perlu memulakan usaha itu (perancangan) lebih awal supaya sebaik ECRL beroperasi, semua aspek asas sudah disediakan.

"Misalnya, jika perlu satu-satu zon ekonomi itu diwujudkan, ia perlu bermula sekarang dengan usaha pemasaran yang agresif," katanya yang turut menambah fasa pertama ECRL dijadual bermula pada 2024.

Mengulas selanjutnya, beliau berkata, turut ditekankan kepentingan supaya stesen utama di sepanjang ECRL itu dihubungkan dengan kawasan tarikan seperti lokasi pelancongan.

"Pelbagai agensi berkaitan perlu bekerjasama untuk menawarkan pakej pelancongan terbaik bagi menarik lebih ramai pengunjung ke destinasi berkenaan.

"Semua tarikan yang berpotensi itu perlu diterokai dan dimanfaatkan ke tahap maksimum," katanya.

Menerusi kenyataan sama, Timbalan Pengarah (Hubungan Industri & Pengkomersialan) Institut Pengangkutan Malaysia (MITRANS), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Dr Shahrin Nasir, berkata projek ECRL umpamanya, turut dilihat penting kerana dapat menseimbangkan pembangunan antara kawasan pantai barat dan pantai timur Semenanjung Malaysia.

"Selama ini aspek seperti pelaburan sama ada domestik atau asing, sentiasa bertumpu di pantai barat.

"Namun, menerusi perkhidmatan kereta api, ia berupaya merentasi bandar kecil di Pahang seperti Bentong, Mentakab, Maran, Gambang, Kota SAS, Bandar Pelabuhan Kuantan I dan II serta Cherating dan ini pasti menyuntik manfaat kepada negeri dari segi menarik pelabur ke kawasan berkenaan," katanya.

Projek ECRL yang bernilai kira-kira RM55 bilion itu akan menjadi satu lagi pemangkin pertumbuhan bagi negeri Pantai Timur, sekali gus mengubah landskap pembangunan di Pahang, Terengganu dan Kelantan.

Laluan sepanjang 600 kilometer merentasi empat negeri terbabit bakal membawa banyak impak sosio ekonomi kepada kawasan luar bandar dan bandar dilaluinya.

396 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »