;
Jumaat, 9 March 2018 | 6:03pm

TEKUN sedia RM100 juta perkasa usahawan wanita


TAJUDDIN (duduk, tengah) diiringi Sharifah Azizah (belakang, empat dari kiri), Mohammad Khairi (duduk, kanan) dan Pemangku Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif TEKUN, Ahmad Hambali Zainal (duduk kiri) bergambar dengan penerima bantuan TEKUN pada majlis perasmian Seminar Agronita Peringkat Negeri Johor di Gelang Patah hari ini. - Foto Hairul Anuar Rahim

GELANG PATAH: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) menerusi Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN Nasional) memperuntukkan RM100 juta untuk program memperkasakan usahawan wanita, TemanNita.

Menerusi skim berkenaan, usahawan wanita boleh memohon peruntukan berkenaan dari TEKUN untuk menggalakkan golongan itu menceburi bidang keusahawanan, terutama dalam bidang pertanian, makanan dan agro.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, berkata peruntukan terbabit adalah antara bantuan dan peluang yang disediakan kerajaan untuk menggalakkan wanita menceburi bidang keusahawanan.

"Tahun ini, menerusi TEKUN, kita memperuntukkan RM100 juta yang khusus diberikan kepada skim TemanNita.

"Peruntukan daripada TEKUN memang dibuka untuk lelaki dan wanita, tetapi tahun ini kita khususkan sebahagian jumlah peruntukan itu untuk wanita sahaja," katanya pada sidang media selepas merasmikan Seminar Agronita Peringkat Negeri Johor di Kampung Pendas Laut di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua UMNO Bahagian Gelang Patah, Mohammad Khairi A Malik; Ketua Pergerakan Wanita UMNO Johor, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nusajaya, Dr Zaini Abu Bakar.

Bagaimanapun, Tajuddin berkata, dalam tempoh dua bulan ini kurang 50 peratus yang baru memohon.

"Peluang ini dibuka sepanjang tahun ini, kalau habis (peruntukan), kita akan fikirkan keperluan untuk menambah atau sebagainya, jika tidak habis, mungkin boleh dibawa ke tahun depan," katanya.


TAJUDDIN menyerahkan ikan sejuk beku secara percuma kepada orang ramai pada perasmian Seminar Agronita Peringkat Negeri Johor di Gelang Patah hari ini. - Foto BERNAMA

Beliau berkata, pelbagai bantuan sudah ditawarkan sebelum ini seperti bantuan kewangan, kursus perakaunan, bimbingan, geran atau modal menerusi pelbagai agensi di bawah MOA.

Katanya, inisiatif menganjurkan Seminar Agronita itu juga sedikit sebanyak bagi memberi kesedaran dan pendedahan kepada lebih ramai lagi wanita untuk menceburi bidang keusahawanan.

"Mungkin tidak ramai wanita yang tahu akan wujudnya bantuan yang disediakan kerajaan, jadi, dengan adanya program yang membolehkan kita turun padang seperti ini memberi ruang kepada usahawan wanita melihat apa peluang yang boleh membantu mereka meningkatkan lagi taraf hidup mereka.

"Jadi, saya berharap golongan wanita akan mengubah minda dan sikap mereka dengan merebut peluang yang ada," katanya.

Pada majlis itu, Tajuddin turut meluluskan peruntukan RM200, 000 untuk membina pasar nelayan di Kampung Pendas Laut, dekat sini.

Beliau berkata, pembinaan pasar nelayan itu akan dilaksanakan tahun ini bagi membantu nelayan tempatan memasarkan hasil tangkapan mereka tanpa melalui orang tengah.

209 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »