Rabu, 7 March 2018 | 4:56pm
DEKAN Bersekutu Pegawai Pendidikan di Saïd Business School Oxford University, Dr Andrew White (lima dari kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif K-Pintar Sdn Bhd, RA Thiagaraja (empat dari kiri) melancarkan pelancaran Oxford Leadership 4.0 Immersive Learning Lab di Sentral Ballrom B, Hilton Kuala Lumpur Hotel. - Foto Eizairi Shamsudin

Graduan perlu cipta kemahiran baru depani IR 4.0

KUALA LUMPUR: Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) bakal melahirkan generasi muda dengan pelbagai kemahiran baharu selaras dengan perubahan teknologi digital.

Dekan Bersekutu Pegawai Pendidikan di Saïd Business School Oxford University, Dr Andrew White, berkata graduan baru berkemungkinan tidak akan bertahan lama dalam pekerjaan pertamanya dan perlu meningkatkan kemahiran diri sejajar dengan kehendak semasa.

"Saya lihat pekerjaan pertama mereka tidak akan bertahan lama. Apa yang yang perlu dipelajari oleh graduan muda adalah bagaimana mereka mencipta semula diri mereka selari dengan perubahan teknologi di sekeliling mereka," katanya pada sidang media sempena pelancaran Oxford Leadership 4.0 Immersive Learning Lab di sini, hari ini.

Program lima hari itu dijalankan di kemudahan pembelajaran eksekutif University of Oxford, United Kingdom khusus untuk pegawai kanan syarikat korporat tempatan.

Mengenai keupayaan syarikat korporat untuk mengekalkan bakat anak muda mereka, White berkata, organisasi yang lebih besar perlu berubah dan menjadikan tempat kerja cukup menarik bagi generasi muda untuk mengembangkan bakat mereka.

"Sesetengah syarikat besar dilihat tidak berminat dan malas... bukan kerana mereka tidak bekerja keras tetapi mereka melakukan perkara yang sama berulang kali

"Kita dapati semakin banyak syarikat yang berjaya dan lebih besar, semakin sukar untuk berubah dan melakukan sesuatu yang berbeza.

"Sebab inilah generasi muda meninggalkan syarikat kerana mereka lihat tiada masa depan di sana," katanya.

Mengulas lanjut, katanya, IR 4.0 pastinya akan memberi kesan kepada jumlah tenaga buruh di seluruh dunia.

"Industri perkilangan, automatif tentunya akan terkesan dengan inisiatif ini dan kami jangkakan segmen pengangkutan juga turut menerima kesan daripada IR 4.0," katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, firma perundangan dijangka paling kurang terkesan dengan revolusi perindustrian berkenaan kerana bidang berkenaan termasuk perundingan tidak membabitkan secara menyeluruh ke arah pendigitalan.

123 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »