Rabu, 14 Februari 2018 | 3:37pm
TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melihat buah sawit ketika melawat pameran Program Hello Komoditi Bagan Datuk sambil diiringi Siew Keong di Dewan Datuk Mohamed Jamrah,

Kerahmatan tahun baharu melimpah ruah

DUA hari lagi Tahun Baharu Cina akan disambut rakyat Malaysia yang meraikannya. Seperti kelaziman, mereka akan melakukan persiapan akhir dan pulang ke kampung untuk bersama-sama keluarga menikmati jamuan besar.

Pada masa sama, sambutan ini membuka lembaran baharu untuk melihat kembali pencapaian terdahulu dan merangka harapan untuk masa depan.

Keharmonian penting dalam apa jua aspek. Malah lima elemen zodiak Cina iaitu logam, kayu, air, api dan bumi adalah penting bagi menzahirkan keharmonian dalam kehidupan.

Secara analoginya, saya berpendapat keberkesanan sesebuah kerajaan harus menghasilkan kemajuan dalam enam bidang utama, iaitu penjagaan kesihatan, pendidikan, keselamatan, infrastruktur, peluang ekonomi dan alam sekitar.

Dalam hal ini, prestasi kerajaan bagus seperti sebelumnya dan sudah tentu lebih banyak lagi boleh kita perbaiki.

Enam tonggak kerajaan bagus

Menurut laman web rasmi Kementerian Kesihatan, sebanyak 139 hospital, 2839 klinik, 196 Klinik 1Malaysia dan 661 klinik pergigian wujud di seluruh negara.

Dengan penjagaan sektor kesihatan yang bagus, tidak menghairankan kadar kematian bayi dan jangka hayat antara yang terendah serta tertinggi di dunia manakala penjagaan kesihatan awam sangat mudah dan berpatutan.

Bagi sektor pendidikan, Rangka Tindakan Pendidikan Malaysia 2013-2025 memberi tumpuan kepada akses pendaftaran penuh di semua peringkat kemasukan menjelang 2020.

Tindakan ini bertujuan meletakkan Malaysia antara kelompok satu pertiga negara teratas dalam penilaian antarabangsa seperti Kajian Trend Pendidikan Matematik dan Sains Antarabangsa (TIMMS) dan Penilaian Murid Antarabangsa (PISA) dalam masa 15 tahun (kualiti), pengurangan 50 peratus dalam jurang pencapaian antara desa dengan bandar, sosioekonomi dan jantina (ekuiti), memupuk perpaduan dalam kalangan pelajar serta memaksimumkan hasil pelajar dalam belanjawan (kecekapan).

Keputusan TIMMS pada 2015 menunjukkan peningkatan negara dalam subjek Matematik dan Sains, masing-masing meningkat empat dan lapan kedudukan dalam senarai.

Pada masa sama, kadar jenayah di seluruh negara juga menurun 47 peratus dalam tempoh enam tahun yang lalu.

Kejayaan ini adalah hasil pelbagai program seperti inisiatif sentiasa ada (Police Omnipresence), kepolisan moden dan penubuhan Agensi Keselamatan Sempadan pada 2016.

Bagi menjamin kesejahteraan rakyat, kerajaan menggiatkan pembangunan infrastruktur kritikal. Di kawasan bandar seperti Greater Kuala Lumpur, penambahbaikan pengangkutan awam seperti bas, KTM Komuter dan Aliran Transit Ringan (LRT), serta bermulanya Aliran Transit Massa (MRT) tahun lepas, meningkatkan bahagian modal pengangkutan awam dengan ketara.

Bagi kawasan luar bandar, projek seperti Landasan Keretapi Pantai Timur (ECRL), Lebuhraya Pan Borneo dan Lebuhraya Pantai Barat yang membawa manfaat kepada penduduk Teluk Intan yang saya wakili bermula 2019, akan mewujudkan peluang baharu di wilayah yang memerlukan lebih pembangunan dan perkhidmatan.

Usaha ini bagi memastikan keseimbangan keperluan rakyat bandar dan luar bandar dalam pertumbuhan serta peluang ekonomi.

Seiring jangkaan Bank Dunia, sokongan eksport yang kukuh dalam sektor elektrikal dan elektronik, serta produk berasaskan sumber seperti petroleum dan komoditi, akan menyaksikan kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun 2017 sebanyak 5.8 peratus.

Sehubungan itu, kadar tenaga kerja meningkat ke tahap 67.9 peratus pada suku ketiga 2017 dengan penurunan kadar pengangguran kepada 3.4 peratus bagi tempoh sama.

Sungguhpun begitu, kerajaan perlu bekerja keras lagi untuk menangani kebimbangan kos sara hidup seperti inflasi makanan dan kos perumahan yang menjadi perhatian isi rumah berpendapatan rendah bandar.

Mengenai alam sekitar, Malaysia memainkan peranan penting ketika rundingan COP 21 di Paris dan juga di COP 23 di Bonn, Jerman.

Walaupun diasak dengan pelbagai isu seperti penebangan hutan dan kemusnahan alam sekitar, kita mempunyai pendekatan komprehensif dan mampan untuk menguruskan khazanah semula jadi.

Kita juga menjawab segala tuduhan mereka dan saya sendiri akan mengetuai delegasi ke Eropah awal minggu ini untuk menegaskan komitmen dan hak kita.

Kejayaan lima komoditi terbesar

Lima komoditi terbesar negara iaitu minyak sawit, getah, kayu, koko dan lada mencatatkan pencapaian bagus di luar jangkaan pada 2017.

Eksport pada 2017 bernilai RM 140.3 bilion, 14.4 peratus lebih tinggi berbanding RM121.9 bilion pada 2016. Sebahagian besar eksport ini melalui minyak sawit dengan nilai RM77.8 bilion berbanding RM67.6 bilion untuk tahun kewangan 2016, diikuti getah RM32.3 bilion (RM24.8 bilion pada 2016) dan kayu RM23.2 bilion (RM21.9 bilion pada 2016).

Dengan pemulihan berikutan fenomena El Nino yang melanda pada 2016, hasil tandan segar meningkat kepada 17.89 tan sehektar pada 2017 berbanding 15.91 tan sehektar pada 2016, manakala pengeluaran minyak sawit meningkat kepada 19.9 juta tan pada 2017 berbanding 17.3 juta tan pada 2016 masing-masing meningkat 12 peratus dan 15 peratus.

Pengeluaran getah asli pula berkembang tujuh peratus daripada 673,800 tan metrik pada 2016 kepada 724,000 tan pada 2017.

Oleh itu kerajaan harus lebih giat meningkatkan produktiviti, mengukuhkan kemampanan hasil kita dan mempelbagaikan pasaran serta penawaran secara berterusan pada 2018.

Sungguhpun kekurangan tanah untuk penanaman baharu, kita boleh memberi tumpuan untuk penambahbaikan hasil dan mekanisasi.

Pada tahun ini juga, pensijilan MSPO memasuki tahun kedua dengan lebih banyak usaha dilakukan bagi memastikan sasaran mengesahkan semua kawasan penanaman kelapa sawit menjelang Disember 2019 tercapai.

Dalam pada itu, kita juga yakin dalam usaha menentang pengharaman biodiesel sawit dari rantau ini pada 2021 oleh Parlimen Eropah berikutan sokongan daripada Perancis, Sweden dan Belanda, baru-baru ini kerana kita mendapat sokongan daripada India dan China terhadap import Malaysia.

Ini menunjukkan prospek positif bagi minyak sawit serta getah pada 2018.

Sudah pasti, usaha kita dalam mengembangkan sektor komoditi akan memainkan peranan penting dalam menyokong pertumbuhan KDNK Malaysia sebanyak 5.2 peratus tahun ini.

Keberkatan kepada semua

Dalam kita menghargai tahun lepas yang penuh pencapaian, saya berharap tahun baharu ini bakal memberi sinar harapan kepada semua rakyat Malaysia.

Bagi mereka yang meraikan Tahun Baharu Cina, saya ingin mengucapkan Selamat Tahun Baharu Cina dan semoga diberkati kebaikan tahun ini.

Datuk Seri Mah Siew Keong ialah Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi. Artikel ini adalah pandangan-editorial (op-ed) untuk berkongsi pandangan, harapan dan visi komoditi kepada setiap rakyat Malaysia

131 dibaca
Berita Harian X