Khamis, 11 Januari 2018 | 9:01am

Kurang kasih sayang boleh ganggu mental

KUALA LUMPUR: Institusi kekeluargaan adalah aspek penting  yang perlu diperkasa dalam mendidik dan membimbing anak supaya membesar sebagai insan berguna kepada keluarga, agama, bangsa dan negara.

Ini kerana institusi kekeluargaan dianggap fasa pertama pendidikan awal sebagai persediaan anak sebelum memasuki alam seterusnya yang penuh ranjau dan cabaran.

Hakikatnya, kekangan masa bersama dan kesempitan hidup adalah punca anak merasakan mereka tidak mendapat kasih sayang secukupnya sehingga terjerumus ke kancah masalah sosial seperti ponteng sekolah, penyalahgunaan dadah dan juga jenayah juvenil akibat pengaruh rakan sebaya.

Sebagai 'hukuman', anak ini akhirnya dihantar ke institusi jagaan untuk sesi pemulihan yang tegar dalam tempoh yang lama.

Walhal, keupayaan keluarga dalam memerangi keretakan institusi kekeluargaan dan gejala sosial yang melanda anak-anak jauh lebih berkesan.

Namun, bukan semua anak di rumah kebajikan daripada keluarga yatim atau bermasalah, tetapi dihantar oleh keluarga yang terdesak ekoran khuatir tidak mampu menjaga dan membesarkan anak dengan baik.

Justeru, ibu bapa perlu lebih prihatin tentang kualiti kehidupan keluarga selain sentiasa mengambil langkah proaktif untuk menyemai nilai moral dalam jiwa anak yang diperlukan sebagai asas sebuah masyarakat.

Ini pendekatan yang ingin diketengahkan dalam menangani masalah keluarga melalui integrasi semula (reintegration/RI) anak ke dalam keluarga dan sistem institusi penjagaan yang berasaskan komuniti dan keluarga (deinstitutionalisation/DI).

Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Baitul Kasih, Zahari Alwi, berkata anak-anak yang tidak cukup perhatian dan kasih sayang ibu bapa membuatkan perkembangan mental anak itu cacat.

Jadi, katanya, ibu bapa yang mempunyai anak bermasalah tidak sepatutnya menghantar anak mereka ke institusi jagaan kerana hal ini dilihat membiarkan satu pihak saja menyelesaikan masalah.

"Sebenarnya, institusi jagaan cuma berfungsi sebagai transit atau persinggahan saja dalam tempoh tertentu. Selepas anak menjalani pemulihan secara berkala, si anak perlu kembali ke rumah.

"Macam mana sekalipun keadaan si ibu atau bapa, kita mesti lepaskan si anak atau sebaliknya, kita sendiri perlu wujudkan suasana kekeluargaan di institusi. Kasih sayang adalah fitrah manusia terutama kasih sayang ibu bapa.

"Di Baitul Kasih, kita layan mereka seperti keluarga. Hantar dan ambil sekolah, tonton TV (televisyen) bersama, solat berjemaah, makan bersama dan sebagainya. Kita cuma mahu wujud dan terap nilai keluarga supaya anak ini rasa dikasihi dan disayangi. Ini adalah contoh konsep DI di institusi jagaan yang mahu kita ketengahkan," katanya.

Walaupun konsep RI dan DI yang dibawa OrphanCare masih baharu di negara ini, beliau mengakui ia amat membantu pihaknya menguruskan anak di Baitul Kasih meskipun ada yang tidak berubah sepenuhnya tetapi hubungan dengan ibu bapa semakin erat.

Selain itu, rata-rata ibu bapa memberi maklum balas positif mengenai pendekatan RI dan DI yang dibawakan OrphanCare kerana kaedah itu boleh membantu keluarga susah untuk menikmati kehidupan berkeluarga bersama.

Bagi seorang suri rumah yang mahu dikenali sebagai Puan S berkata, OrphanCare membuka mindanya mengenai kehidupan dan kepentingan kebahagiaan bersama anak-anak dengan bantuan institusi kebajikan yang berusaha untuk memastikan ibu bapa disatukan dengan anak.

Ibu berusia 43 tahun itu memutuskan untuk menghantar empat anaknya ke institusi jagaan disebabkan tidak mampu menyara dan bukannya atas sebab mempunyai anak bermasalah.

"Saya hantar mereka ke institusi kerana saya terfikir keadaan mereka sekiranya berada bersama saya. Mereka perlu ke sekolah, makan dan minum. Mereka semakin membesar dan saya tahu saya tidak mampu memberikan apa yang mereka mahu.

"Tidak terlintas di hati saya nak hantar mereka. Ada juga yang mengatakan saya hantar anak ke institusi kerana tidak mahu galas tanggungjawab. Ada yang anggap hidup saya senang bila anak bukan di bawah jagaan saya walhal hidup saya tak senang pun.

"Masa mula hantar ke institusi, saya bersyukur kerana anak sudah pandai membaca, mengaji, solat ikut waktu dan mereka boleh azan bila di rumah tanpa disuruh. Saya melihat banyak perubahan mereka," katanya.

Seorang lagi waris yang ingin dikenali sebagai Puan F yang bekerja sebagai guru tadika, mengakui lebih baik anak tinggal dan dibesarkan bersamanya.

Ibu berusia 23 tahun itu berpendapat, beliau mungkin tidak tahu corak didikan atau pengajaran yang diberikan institusi.

"Maksud saya mungkin di institusi mereka lebih dimanjakan, segala keperluan mudah diperoleh. Tetapi sekurang-kurangnya, jika tinggal bersama, mereka boleh membesar bersama-sama kami sekeluarga.

"Saya kini mengambil tanggungjawab untuk menjadi adik selepas ibu bercerai dan tidak mempunyai pendapatan. Apabila OrphanCARE menawarkan konsep DI, kami merasakan ini adalah masa yang terbaik untuk kami hidup bersama seperti dahulu.

"Setiap kali mereka balik ke pangkuan kami, mereka mesti tidak mahu kembali dan kadangkala mereka memberontak serta asyik memujuk untuk diambil balik. Sebagai kakak, saya faham apa yang mereka rasakan. Jadi kebahagiaan dan kepentingan kekeluargaan yang diterapkan OrphanCARE dengan kerjasama institusi lain sangat bagus," katanya.

Ini seiring visi dan misi OrphanCARE yang mahu memastikan model pemeliharaan berasaskan keluarga dapat dilaksanakan sepenuhnya di Malaysia agar tidak ada lagi institusi baru yang dibina.

Lembaga Pemegang Amanah OrphanCARE, Datin Elya Adnan berkata pihaknya juga ingin melihat institusi sedia ada berubah menjadi pusat komuniti dan kemahiran kakitangan institusi boleh menawarkan penjagaan lebih khusus untuk kanak-kanak kurang upaya yang tidak dapat dijaga oleh keluarga.

"Ini adalah tanggungjawab yang besar. Mungkin 10 hingga 20 tahun masa yang perlu diambil untuk memastikan keseluruhan proses ini sempurna dan dengan perlahan, kami sedang menuju haluan yang betul.

"Kami bercadang untuk meneruskan kerjasama dengan kerajaan dalam melaksanakan DI, manakala dengan rumah kebajikan atau institusi, untuk menyatukan anak-anak di bawah jagaan mereka kembali bersama.

"OrphanCARE dan Yayasan Hasanah bekerjasama erat bermula sejak projek perintis pada hujung tahun 2014. Yayasan Hasanah menyediakan dana untuk memastikan OrphanCARE dapat meneruskan usaha berasaskan kekeluargaan ini supaya berjaya dan terus berkembang," katanya.

 

543 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »