Rabu, 10 Januari 2018 | 3:18pm
PENGURUS Negara Job-Street.com, Chook Yuh Yng. - Foto Rosela Ismail

Pekerja Malaysia selesa di tempat kerja

KUALA LUMPUR: Kaji selidik daripada JobStreet.com menunjukkan pekerja di Malaysia kebanyakannya selesa dengan keadaan persekitaran tempat kerja, malah meluangkan lebih banyak masa di situ berbanding di rumah.

Indeks Pekerja Bahagia 2017 menunjukkan Malaysia berada di kedudukan keempat daripada tujuh negara di rantau ini bagi kebahagiaan pekerja di tempat kerja, dengan mencatatkan 4.65 mata daripada skala 10 mata.

Pengurus Negara Job-Street.com, Chook Yuh Yng berkata, daripada 10,143 pekerja tempatan yang menyertai kajian itu, 58 peratus daripadanya menyatakan mereka berada di paras neutral dan selesa dengan pekerjaan masing-masing.

Katanya, menerusi kajian itu, jantina dan status perkahwinan tidak mempengaruhi keselesaan pekerja di tempat kerja mereka.

 

"Pekerja di Malaysia menyatakan lokasi tempat kerja, rakan kerja yang baik dan reputasi syarikat adalah faktor utama terhadap kebahagiaan pekerjaan mereka.

 

"Hasil kajian juga mendapati mereka yang bekerja dalam perkhidmatan sivil, makanan dan minuman (F&B) dan industri perubatan adalah yang paling bahagia.

 

"Selain itu, kepimpinan lemah serta kekurangan peluang dalam kerjaya dan latihan adalah faktor utama terhadap pekerja yang tidak seronok," katanya.

 

Mengulas mengenai suasana tidak seronok di tempat kerja, beliau berkata, 28 peratus daripada responden meluahkan keinginan untuk menerima ganjaran dari segi peningkatan gaji, manakala tujuh peratus menyatakan menerima pengiktirafan daripada syarikat mereka menyumbang kepada keseronokan bekerja.

 

"Sebanyak 27 peratus daripada responden berkata mereka akan pertimbang untuk meninggalkan tempat kerja masing-masing dan mencari peluang baharu dalam usaha untuk mencari suasana tempat kerja yang lebih seronok," katanya.

 

Dalam Indeks Pekerja Bahagia 2017, Indonesia berada di kedudukan pertama dengan 5.27 mata, apabila setiap tiga daripada empat responden mengakui berasa bahagia di tempat kerja.

 

"Vietnam menduduki tempat kedua dengan 5.19 mata, diikuti Filipina di tempat ketiga dengan 4.97 mata. Thailand (4.55), Hong Kong (4.45) dan Singapura (4.31) masing-masing berada di tempat kelima, keenam, dan ketujuh.

 

"Seramai 35,513 orang daripada tujuh negara mengambil bahagian dalam kajian ini, merangkumi 20 industri membabitkan graduan dan kakitangan pengurusan tertinggi," katanya.

398 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »