Isnin, 8 Januari 2018 | 7:17pm

Indeks keyakinan perniagaan capai paras tertinggi

KUALA LUMPUR: Sentimen perniagaan dalam kalangan syarikat Malaysia mencapai paras kemuncak baharu pada suku pertama 2018 dengan momentum pertumbuhan yang terus meningkat.

Indeks Keyakinan Perniagaan (BOI) Malaysia yang dikeluarkan Dun & Bradstreet (D&B) bagi mengukur keyakinan terhadap ekonomi itu mendedahkan perkhidmatan dan pengangkutan muncul sebagai sektor paling meyakinkan.

D&B dalam satu kenyataan berkata, secara keseluruhan BOI menunjukkan peningkatan kepada 7.25 mata peratus pada suku pertama 2018 berbanding 5.52 mata peratus pada suku keempat 2017.

"Bagi asas tahunan, BOI meningkat kepada 7.25 mata peratus pada suku pertama 2018 daripada 1.65 mata peratus pada suku pertama 2017," katanya.

BOI yang menjadi tinjauan ke-20 D&B menunjukkan empat petunjuk perniagaan meningkat pada asas suku ke suku pada suku pertama 2018, manakala lima petunjuk meningkat berasaskan kadar tahunan.

Penyedia maklumat perniagaan utama di dunia itu berkata, sektor perkhidmatan dan pengangkutan paling optimistik, dengan kesemua enam petunjuk dalam wilayah positif, sementara sektor pembinaan paling rendah, dengan hanya dua petunjuk dalam zon pengembangan bagi suku pertama 2018.

"Terdapat peningkatan ketara jumlah firma yang menjangkakan pelaburan meningkat kepada 18 peratus pada 2018 daripada lapan peratus pada 2017.

"Sementara itu, sebahagian besar syarikat tempatan menjangkakan pelaburan menurun, susut kepada 15 peratus pada 2018 daripada 21 peratus pada 2017.

"Majoriti firma tempatan menjangkakan pelaburan tidak berubah kepada 67 peratus," kata D&B.

Berdasarkan tinjauan itu, syarikat mengenal pasti jentera dan peralatan menjadi bidang pelaburan paling penting untuk 2018 iaitu pada 40 peratus, diikuti teknologi maklumat (28 peratus) dan peningkatan kemahiran pekerja (12 peratus).

Ketua Pegawai Eksekutif D&B Malaysia, Audrey Chia berkata, firma itu menjangkakan perniagaan Malaysia lebih yakin dengan pelaburan dalam pengembangan perniagaan tahun ini.

"Selain ketidaktentuan ekonomi global dan peningkatan kos perniagaan, persaingan yang semakin meningkat menjadi bidang baharu yang dikenal pasti sebagai cabaran utama bagi syarikat Malaysia," katanya.

Audrey berkata kedua-dua sektor perkhidmatan dan pengangkutan mendapat manfaat daripada penggunaan swasta yang kukuh dan perbelanjaan kerajaan dalam infrastruktur awam.

"Kami menjangkakan sektor pembuatan akan dirangsang oleh permintaan global ke atas semikonduktor yang berterusan serta pertumbuhan eksport yang lebih kukuh," katanya.

Info:

Sentimen perniagaan Malaysia meningkat 7.25 mata peratus pada suku pertama 2018

166 dibaca
Berita Harian X