Isnin, 8 Januari 2018 | 5:10pm

Kos HSR boleh cecah RM40 bilion

KUALA LUMPUR: Kos kerja pembinaan projek Rel Kelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR) untuk bahagian Malaysia dijangka boleh mencecah RM35 bilion hingga RM40 bilion.

Affin Hwang Capital Research, dalam nota penyelidikannya, menyatakan yuran Rakan Pelaksana Projek (PDP) Malaysia bagi projek berkenaan berpotensi meraih keuntungan bersih sebanyak RM1.60 bilion hingga RM1.82 bilion (termasuk 24 peratus kadar cukai korporat) dari tahun 2019 hingga 2026.

Menurutnya, jumlah itu diperoleh berdasarkan struktur yuran yang sama yang dikenakan ke atas yuran PDP bagi projek MRT1, MRT2 dan LRT3 iaitu enam peratus daripada kos projek.

"PDP bagi bahagian Malaysia dijangka dilantik menjelang suku pertama tahun ini manakala kontrak AssetsCo dijangka diberikan menjelang akhir tahun ini.

"Kami percaya usahasama (JV) Gamuda-MRCB mempunyai peluang yang baik untuk memenangi bidaan bagi peranan PDP. Konsortium tempatan lebih berpotensi berbanding konsortium asing berikutan pengetahuan setempat diperlukan untuk membantu kerajaan dalam aspek pengambilalihan tanah.

"Selain itu, ia juga berperanan untuk mendapatkan lesen yang diperlukan serta kelulusan kerajaan bagi kerja prasarana di beberapa negeri di Malaysia," katanya.

Menurut nota penyelidikan itu, Gamuda-MRCB berada dalam kedudukan kukuh untuk memenangi tender PDP berikutan pengalaman meluas Gamuda dalam projek PDP lain.

"Selain itu, MRCB juga mempunyai pengalaman dalam membangunkan hab pengangkutan rel dan mendapat sokongan pemegang saham utamanya, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)," katanya.

Menurut Affin Hwang Capital Reseacrh, berdasarkan saham JV 50:50 untuk Gamuda dan MRCB, dijangkakan potensi perolehan masing-masing yang dicapai jika syarikat berkenaan memenangi bidaan itu adalah sebanyak 21 peratus hingga 24 peratus dan 63 peratus hingga 72 peratus, dalam tahun kewangan 2019.

199 dibaca
Berita Harian X