Rabu, 11 Oktober 2017 | 8:35pm
HASNUL Hadi Samsudin.- Foto Owee Sh Chun

LEVEL UP KL 2017 pikat 700 delegasi

KUALA LUMPUR: Lebih 700 delegasi dijangka menyertai persidangan tahunan pembangun permainan Asia Tenggara yang dikenali LEVEL UP KL 2017.

Persidangan yang diterajui oleh Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) akan berlangsung selama lima hari mulai 4 November depan di Bangsar South, Kuala Lumpur.

Acara persidangan utama akan bermula pada 7 dan 8 November di Connexion@Nexus & Event Centre.

Naib Presiden Kandungan Kreatif dan Teknologi MDEC, Hasnul Hadi Samsudin, berkata tujuan persidangan itu dianjurkan adalah untuk membawa komuniti pembangunan permainan tempatan, serantau dan antarabangsa, penerbit dan penyedia teknologi berkumpul.

Katanya, ia bagi membolehkan mereka berkongsi maklumat berkaitan teknologi dan aliran perniagaan dalam industri berkaitan.

"Kita jangkakan lebih 700 peserta dari Indonesia, Singapura, Thailand, Filipina dan Vietnam menyertai persidangan ini selepas merekodkan lebih 600 peserta tahun lalu," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

LEVEL UP KL 2017 juga akan membawa bersama pemain daripada industri kandungan kreatif dan permainan video termasuk pembangun, penyedia teknologi, studio produksi, penerbit, usahawan, pelabur, bakat kreatif dan pelajar.

Lebih 40 penceramah juga akan menyertai LEVEL UP KL termasuk panel tempatan seperti Falk Au Yeong dari SoundRec Malaysia dan Desmond Lee dari Appxplore, manakala peringkat antarabangsa pula membawakan Brian Recktenwald (Naughty Dog), Danny Koo (Marvel Entertainment) dan Graysin Chalmers (Riot Games).

Antara acara utama sempena LEVEL UP KL termasuk The SEA Game Jam yang memaparkan kemahiran dan kreativiti menghasilkan permainan selama 36 jam dan penganjuran South East Asia Game Awards anjuran MDEC dan disokong oleh Media Prima Labs.

Selain itu, ia turut merangkumi pameran produk permainan video dan pelancaran LEVEL UP Inc iaitu inisiatif oleh MDEC untuk membuka hab permainan di Bangsar South bagi membantu pembangun permainan, pembangun kandungan, artis, syarikat pemula, pelajar dan orang awam mengenai peluang dalam pembangunan permainan, kandungan dan pengkormesialan.

"Harga tiket bermula dari RM100 hingga RM800 boleh didapati menerusi dalam talian http://bit.ly/lvlupkl2017," tambah Hasnul Hadi.

85 dibaca
Berita Harian X