Selasa, 10 Oktober 2017 | 7:03pm
KETUA Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Datuk Seri Tajuddin Atan (duduk dua dari kanan) beramah mesra bersama penerima anugerah Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz Tengku Abdul Aziz (duduk tengah) dan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airports Holdings Berhad Datuk Badlisham Ghazali (duduk dua dari kiri) sambil diperhatikan Timbalan Ketua Eksekutif Securities Commision Malaysia Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin (duduk kanan) pada majlis '7th Investor Relations Awards 2017' di Pusat Konvensyen Sime Darby. - Foto Rosdan Wahid

Anugerah MIRA hargai hubungan syarikat-pelabur

KUALA LUMPUR: Petronas Chemicals Group Berhad dinobatkan sebagai syarikat terbaik bagi hubungan pelabur di bawah kategori syarikat bermodal besar pada majlis Anugerah Hubungan Pelabur Malaysia kali ke-7.

Bagi kategori syarikat bermodal sederhana pula, AirAsia Berhad (AirAsia) merangkul anugerah berkenaan manakala Vitrox Corporation Berhad (Vitrox) meraih tempat pertama bagi kategori syarikat bermodal kecil.

Selain itu, HSS Engineers Berhad juga dipilih sebagai syarikat terbaik bagi kategori syarikat bermodal mikro.

Dalam anugerah yang sama, Ketua Eksekuif CIMB Group Holdings Berhad, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz Tengku Abdul Aziz dipilih sebagai Ketua Eksekutif bagi hubungan pelabur terbaik bagi kategori syarikat bermodal besar manakala Ketua Eksekutif Malaysia Airports Holdings Berhad, Datuk Badlisham Ghazali mengungguli kategori syarikat bermodal sederhana.

Majlis anugerah anjuran Persatuan Hubungan Pelabur Malaysia (MIRA) yang berlangsung hari ini dihadiri lebih 500 profesional yang terbabit dalam bidang perniagaan.

Hadir sama pada majlis berkenaan ialah Ketua Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Seri Tajuddin Atan dan Timbalan Ketua Eksekutif Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin.

Pengerusi MIRA, Steven Tan, berkata penyampaian anugerah itu diadakan serentak dengan sambutan ulang tahun ke-10 penubuhan persatuan berkenaan.

Katanya, sejak ditubuhkan 10 tahun lalu, pihaknya menyaksikan lebih banyak syarikat sudah mula memahami kepentingan hubungan pelabur dan impaknya kepada syarikat mereka.

"Ia terbukti menerusi senarai syarikat yang kukuh yang dicalonkan dalam anugerah ini.

"Kami berhadapan dengan pelbagai cabaran untuk memastikan syarikat mengamalkan hubungan pelabur dan anugerah ini menjadi bukti bahawa semakin banyak syarikat sudah mengamalkan serta melakukannya dengan baik," katanya.

112 dibaca
Berita Harian X