Selasa, 12 September 2017 | 1:05pm
KETUA Pegawai Eksekutif ECERDC, Datuk Seri Jebasingam Issace John. - Foto Mohd Azren Jamaludin

Produk ECER di CAEXPO

NANNING, China: Seramai 20 usahawan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) mempamerkan produk seni dan makanan tradisional di Ekspo China ASEAN (CAEXPO) Ke-14.

Pameran berlangsung di Nanning, China selama empat hari bermula hari ini.

Inisiatif pembangunan keusahawanan itu antara usaha Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) dengan sokongan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor bagi meningkatkan lagi permintaan produk ECER di republik itu.

Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Datuk Seri Jebasingam Issace John, berkata permintaan untuk hasil seni dan kraf Malaysia, serta produk makanan tradisional, khususnya dari ECER meningkat sejak beberapa tahun kebelakangan ini susulan promosi di pasaran global.

Katanya, buat julung kali ECERDC memilih usahawan dari industri seni dan kraf untuk menjadi sebahagian daripada rombongan Malaysia ke CAEXPO 2017.

"Kami percaya bahawa terdapat permintaan yang kukuh dan kian meningkat untuk warisan kebudayaan yang unik daripada pengguna di seluruh dunia, termasuklah China dan ASEAN," katanya kepada media sempena CAEXPO Ke-14 di sini, hari ini.

Beliau berkata, dengan pendedahan pasaran yang lebih meluas, terdapat banyak peluang untuk usahawan tempatan mempromosikan hasil seni dan kraf tempatan dan pada masa sama, memaparkan potensi wilayah itu sebagai destinasi pelancongan budaya.

"Ini akan membawa lebih banyak faedah sosioekonomi kepada masyarakat tempatan, khususnya dari segi peluang pekerjaan dan keusahawanan," katanya.

Issace berkata, hubungan dua hala yang rapat antara Malaysia dan China membuka peluang yang amat luas kepada usahawan tempatan untuk menerokai pasaran China dan ASEAN.

"ECERDC komited untuk merealisasikan potensi kerjasama yang erat antara Malaysia dan China dengan menyediakan platform yang sesuai bagi usahawan dan syarikat induk di ECER untuk pemain tempatan berkembang menjadi pengeksport global, melalui program pembangunan kami termasuk empower ECER dan entrepreneur ECER," katanya.

Vac Hub Sdn Bhd, syarikat di bawah program entrepreneur ECER yang membuka East Coast Art and Souvenir Centre di Genting Highlands, satu syarikat dan usahawan dari ECER yang terpilih untuk menyertai misi perdagangan berkenaan buat pertama kali.

Pengarah Vac Hub, Jeffrey Kee, berkata mereka teruja dengan peluang keemasan yang ditawarkan oleh ECERDC untuk menyertai misi perdagangan dan mempromosikan hasil seni dan kraf Pantai Timur untuk pembeli luar negara.

Sementara itu, Gahara Galore Sdn Bhd, pengeluar batik artisan dari Kelantan yang turut pertama kali menyertai ekspo berkenaan yakin produk tekstil yang diketengahkan mempunyai keunikan untuk menarik minat pasaran China.

Pengasasnya, Nik Mohd Faiz Nik Mohamed Amin, berkata, dengan kemaraan China dan ASEAN sebagai pemain utama dalam dunia fesyen global, mereka teruja menyertai CAEXPO 2017 sebagai medan untuk memperkenal kehalusan hasil tangan tekstil batik dari Pantai Timur ke pasaran antarabangsa.

Bersempena dengan CAEXPO 2017, ECERDC turut menganjurkan siri pertemuan perniagaan dengan pelabur dan rakan niaga berpotensi termasuk farmaseutikal, Tenaga Boleh Diperbaharui dan Data Induk serta operator komputasi awan (cloud computing operator) untuk memasuki ECER.

INFO

* 171 usahawan menyertai CAEXPO 2017

116 dibaca
Berita Harian X