Khamis, 7 September 2017 | 3:52pm
Bank Negara Malaysia. - Foto fail NSTP

Bank Negara kekal OPR 3 peratus

KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR), yang menjadi penanda aras rujukan pinjaman pada 3 peratus.

Dalam mesyuaratnya hari ini, Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) BNM berkata ekonomi global terus mengukuh dengan pertumbuhan menjadi semakin mantap dan selaras di beberapa negara, manakala perdagangan global meningkat dengan ketara.

Dalam ekonomi maju, ia berkata perbelanjaan dan pelaburan terus meningkat.

"Di Asia, pertumbuhan dipacu oleh aktiviti domestik yang mapan dan permintaan luaran yang kukuh. Perkembangan ini terarah kepada momentum mapan dalam pertumbuhan global.

"Tinjauan ini bagaimanapun mungkin boleh dijejaskan oleh perkembangan politik dan dasar di ekonomi maju serta risiko geopolitik," kata bank pusat itu dalam satu kenyataan.

BNM berkata, ekonomi Malaysia merekodkan pertumbuhan lebih tinggi pada suku kedua 2017, dipacu oleh aktiviti domestik serta eksport lebih teguh.

Menuju ke hadapan, ia berkata prospek pertumbuhan akan disokong oleh tinjauan pertumbuhan global lebih positif serta limpahan lebih kukuh daripada sektor luaran kepada ekonomi domestik.

"Permintaan domestik akan kekal pemacu penting pertumbuhan, disokong oleh hasil dan persekitaran pasaran tenaga kerja keseluruhan yang bertambah baik, projek infrastruktur baharu dan sedia ada selain pelaburan modal berterusan oleh firma dalam sektor perkhidmatan dan pembuatan.

"Secara keseluruhan, pertumbuhan pada 2017 akan lebih kukuh berbanding jangkaan awalnya," katanya.

177 dibaca
Berita Harian X