Khamis, 7 September 2017 | 1:58pm
TAN Sri Mohd Azumi Mohamed (kanan) bersama Wakil Pesuruhjaya Jeneral Polis Diraja Thai, Pol Col Kissana Phathanacharoen (kiri) mencuba kamera teknologi penglihatan malam pada IFSEC Southeast Asia di Pusat Konvensyen KL hari ini. - Foto BERNAMA

Rebut peluang peningkatan permintaan produk keselamatan

KUALA LUMPUR: Pameran dan Persidangan Kebakaran dan Keselamatan Antarabangsa (IFSEC) Asia Tenggara 2017 menyediakan platform bagi syarikat tempatan memperluas pasaran produk mereka ke peringkat antarabangsa.

Pengerusi Bersama United Business Media (M) Sdn Bhd (UBM Malaysia), Tan Sri Mohd Azumi Mohamed, berkata syarikat tempatan perlu mengambil peluang ke atas permintaan produk dan perkhidmatan keselamatan yang semakin meningkat dalam pasaran.

"Syarikat tempatan mempunyai produk yang bagus perlu merebut peluang ini untuk cuba memperkenal produk keluaran mereka bagi diketengahkan dalam pasaran antarabangsa.

"Selain memperkenalkan produk dan perkhidmatan mereka, syarikat tempatan juga boleh membentuk kerjasama dengan syarikat luar melalui perkongsian dan pertukaran maklumat bagi menambah baik mutu perkhidmatan dan produk mereka," katanya kepada pemberita selepas melawat ruang pameran IFSEC Asia Tenggara, di sini hari ini.

IFSEC Asia Tenggara 2017 dirasmikan oleh Timbalan Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Zainal Abidin Kasim.

IFSEC Asia Tenggara 2017 edisi kelima, mempamerkan teknologi, produk dan perkhidmatan terkini berkaitan keselamatan komersial, perlindungan daripada kebakaran, perlindungan data, produk keselamatan siber, keselamatan siber dan penyelesaian oleh 350 syarikat dan jenama dari negara seperti United Kingdom, Taiwan, Poland, China dan Singapura.

Ia dianjurkan oleh UBM Malaysia dan diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, selama tiga hari bermula semalam.

90 dibaca
Berita Harian X