Khamis, 7 September 2017 | 1:33pm
PENGURUS Jualan Runcit PETRON, Mohd Shaibi Ahmad Hijazi bergambar bersama pemenang Cabaran Hypermarket Sweep PETRON, di Kuantan, hari ini. - Foto Farizul Hafiz Awang

PETRON hargai pelanggan

KUANTAN: Petron Malaysia Refining & Marketing Bhd (PETRON Malaysia) bakal membuka lebih banyak stesen minyak baharu dan meningkatkan kemudahan di stesen minyak PETRON sedia ada sepanjang tahun ini dan tahun hadapan.

Pengurus Jualan Runcit PETRON, Mohd Shaibi Ahmad Hijazi, berkata langkah itu bertujuan membawa jenama itu lebih dekat kepada pelanggan sekali gus mengukuhkan lagi kedudukan mereka dalam pasaran tempatan.

"Kami menjangkakan antara 20 hingga 30 stesen minyak baharu dibuka antara hujung tahun ini hingga awal tahun depan. Semua stesen ini ada yang sudah siap dibina dan hanya menunggu kelulusan sebelum memulakan operasi," katanya pada Cabaran Hypermarket Sweep PETRON, di sini, hari ini.

PETRON Malaysia kini memiliki 600 rangkaian stesen minyak seluruh negara dan menawarkan bahan api premium seperti Blaze 100 Euro 4M, Blaze 97 Euro 4M, Blaze 95, Turbo Diesel Euro 5 dan Diesel Max.

Beliau berkata, pihaknya komited dalam membuka lebih banyak stesen minyak baru tahun depan dengan 20 hingga 30 stesen minyak kini sedang dibina.

"Selain itu, kami akan terus memastikan keselesaan pelanggan di stesen Petron sedia ada melalui peningkatan kemudahan seperti surau dan tandas seperti yang sudah dilaksanakan di beberapa stesen sebelum ini," katanya.

Sementara itu, PETRON Malaysia menganjurkan Cabaran Hypermarket Sweep Petron untuk musim ketiga dengan barisan pemenang dan tiga ahli keluarga mereka berpeluang mengisi dua troli dengan seberapa banyak barangan runcit dalam masa ditetapkan.

Lapan pemenang hadiah utama akan memenangi barangan runcit bernilai RM5,000 (kategori lima minit) manakala lapan pemenang hadiah sagu hati memenangi barangan runcit RM3,000 (empat minit).

Untuk kali ini, acara itu akan diadakan di pasar raya besar Giant Shah Alam, Johor Bahru, Pulau Pinang, Kuantan dan Kota Kinabalu dengan 56 pemenang keseluruhan menikmati ganjaran berjumlah RM240,000.

Cabaran Hypermarket Sweep PETRON dianjurkan kali pertama pada 2015 dengan tawaran ganjaran RM500 dan kemudian dinaikkan kepada RM140,000 tahun lalu membabitkan 40 pemenang di empat lokasi seluruh negara.

270 dibaca
Berita Harian X