Isnin, 14 Ogos 2017 | 11:29am

Malaysia perlu tingkat pelaburan industri E&E


MALAYSIA perlu memberi tumpuan kepada usaha untuk meningkatkan pelaburan dalam industri elektrik dan elektronik. - Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Malaysia perlu memberi tumpuan kepada usaha untuk meningkatkan pelaburan dalam industri elektrik dan elektronik (E&E) untuk mencapai ekonomi berpendapatan tinggi di bawah revolusi Industri 4.0.

Timbalan Presiden Kebangsaan Persatuan PKS Malaysia, Ong Chee Tat, berkata perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di negara ini perlu meningkatkan usaha untuk setanding dengan peserta yang lebih besar, serta mengikuti aliran terkini dalam automasi dan teknologi.

Beliau berkata, dari segi revolusi Industri 4.0, PKS tempatan tidak mempunyai ekonomi bidangan berbanding negara lain, justeru tidak boleh mendapat pulangan lebih cepat daripada pelaburan mereka.

"Syarikat besar boleh mengeluarkan perbelanjaan dahulu dan meraih hasil kemudian. Bagaimanapun, peserta yang lebih kecil, hanya boleh membelanjakan apa yang mereka peroleh. Ini adalah soal pelaburan modal," katanya.

Ong berkata, persatuan itu telah mengemukakan cadangan kepada kerajaan mengenai dana yang diperlukan untuk merangsang PKS untuk maju ke Industri 4.0.


TIMBALAN Presiden Kebangsaan Persatuan PKS Malaysia, Ong Chee Tat. - Foto Surianie Mohd Hanif

Beliau berkata, PKS tempatan perlu mengubah minda mereka, daripada yang bergantung kepada buruh asing, kepada mengautomasikan proses perniagaan mereka melalui penggunaan teknologi seperti robotik, Internet of Things dan pengkomputeran awan.

"Ini memerlukan peningkatan tenaga kerja dan bakat," katanya.

Memberi contoh pengilang peralatan tulen (OEM) di Pulau Pinang dan zon perindustrian lain, Ong berkata syarikat-syarikat ini yang mengeluarkan produk untuk kilang-kilang besar di peringkat dunia bersedia untuk berada dalam Industri 4.0.

"Kami menggalakkan PKS untuk tidak menjadi OEM, tetapi untuk mengeluarkan jenama mereka sendiri dan mengeksportnya ke peringkat dunia," katanya.

Beliau berkata, inovasi yang membawa perubahan telah menyebabkan peralihan paradigma dalam industri E&E, dan PKS, terutamanya peserta yang lebih kecil, memerlukan bantuan kewangan untuk dapat maju dalam Industri 4.0.

Menurut laporan terdahulu, anak syarikat Khazanah Nasional Bhd, Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia, merancang untuk meluluskan pinjaman bernilai RM170 juta kepada firma berasaskan teknologi tahun ini.

Di peringkat global, Industri 4.0 telah mendorong permintaan untuk produk cekap tenaga, seperti lampu LED dan peti sejuk yang cekap tenaga, penyaman udara dan alat elektrik lain, selain merangsang minat dalam kalangan pemain industri dalam sektor E&E.

Di peringkat tempatan, syarikat E&E terkemuka, Infineon Technologies Malaysia, baru-baru ini mengumumkan pembukaan sebuah bangunan baru di Zon Perdagangan Bebas Batu Berendam untuk menyokong operasi Industri 4.0.

Bangunan baru ini direka bentuk untuk standard Industri 4.0, menggabungkan automasi, Internet of Things dan sistem siber-fizikal. - BERNAMA

373 dibaca
Berita Harian X