Rabu, 9 Ogos 2017 | 6:59pm
PRESIDEN CIS Network Sdn Bhd, Datuk Vincent Lim (kiri) dan Presiden Institut Pereka Dalaman Malaysia, Chris Yap semasa Sidang Pratonton Rangkaian dan Persidangan RiX 2017 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. - Foto Salhani Ibrahim

HOMEDEC, RiX 2017 berganding jayakan pameran

KUALA LUMPUR: Pameran Hiasan Dalaman dan Rekaan Rumah (HOMEDEC) menjalin kerjasama dengan Pameran Dalaman REKA (RiX 2017) bagi menganjurkan pameran rekaan dalaman, produk dan objek yang dikuratorkan.

Pameran yang julung kali diadakan itu bakal berlangsung di Dewan 5 Pusat Konvensyen Kuala Lumpur bermula 19 hingga 22 Oktober depan.

Ia dianjurkan serentak dengan pameran HOMEDEC bertemakan "Rekaan Infiniti-Tiada Sempadan".

Pameran berkenaan dianjurkan bersama oleh C.I.S Network Sdn Bhd (CIS) dan MIID Reka Sdn Bhd (MRSB).

Presiden CIS, Datuk Vincent Lim berkata, RiX 2017 bakal menjadi tarikan utama pada pameran HOMEDEC berkenaan yang dijangka menarik kunjungan lebih daripada 60,000 pelawat.

"Objektif penganjuran RiX 2017 adalah untuk merangsang industri rekaan dalaman yang menjadi penyumbang besar kepada ekonomi negara.

"Selain itu, RiX 2017 juga membolehkan pempamer mempromosikan siri rekaan terbaharu, produk dan perkhidmatan kepada pereka dalaman, arkitek dan pengunjung," katanya pada majlis pra pelancaran pameran berkenaan di sini, hari ini.

Hadir sama pada majlis itu adalah Naib Pengerusi Institut Rekaan Dalaman Malaysia (MIID), Ooi Boon Seong yang dilantik menjadi kurator bersama RiX 2017.

Sementara itu, Ooi berkata peranannya adalah untuk mengharmonikan elemen pameran bagi membolehkan pengunjung memahami konsep yang diterapkan pada pameran itu.

"Ia bertujuan memberikan inspirasi kepada mereka untuk mengadaptasi idea inovatif bagi penyelesaian rekaan mereka.

"Ruang pameran yang dikuratorkan juga membolehkan jenama tertentu dan pembekal mempamerkan produk berteraskan rekaan yang mereka hasilkan," katanya.

Info:-RiX 2017 adalah antara program yang dianjurkan di dalam Minggu Rekaan REKA 2017.

96 dibaca
Berita Harian X