Isnin, 7 Ogos 2017 | 10:09pm

Jualan syiling khas Ulang Tahun Industri Minyak Sawit ke-100

KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) akan menjual duit syiling peringatan sempena Ulang Tahun Industri Minyak Sawit Malaysia ke-100, mulai Rabu ini.

BNM dalam kenyataan hari ini berkata, jualan akan dijalankan di Muzium dan Galeri Seni BNM (MAG) dan BNM Pulau Pinang, Johor Bahru, Kota Kinabalu, Kuching dan Kuala Terengganu.

Duit syiling peringatan itu dilancarkan oleh Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Mah Siew Keong di MAG, Sasana Kijang di sini, pada 27 Julai lalu.

"BNM akan menjual duit syiling peringatan ini melalui proses pengundian awam untuk memastikan pengagihan secara adil kepada pembeli.

"Pendaftaran pembelian akan diterima mulai jam 7 pagi hingga 11 pagi pada 9 Ogos 2017 di lokasi jualan. Semua pendaftaran pembelian yang diterima akan mendapat peluang yang sama untuk membeli duit syiling ini melalui proses pengundian," menurut kenyataan itu.

Orang ramai dinasihatkan supaya tidak beratur di lokasi jualan sebelum jam 7 pagi kerana jualan itu bukan berasaskan siapa cepat dia dapat dan pengundian akan diadakan mulai jam 11.30 pagi.

Sementara itu, BNM berkata, kesemua duit syiling itu juga boleh didapati dalam set dua dalam satu.

"Set ini mengandungi duit syiling pruf perak berwarna dan pruf emas nordic. Set ini akan dijual pada harga RM280 setiap set (tertakluk kepada 6 peratus GST) dan hanya 1,300 set sahaja disediakan," kata kenyataan itu.

INFO

Spesifikasi duit syiling dan harga:

1. Duit syiling peringatan perak berwarna (pruf)

Duit syiling ini diperbuat daripada logam perak dengan ketulenan 99.9 dan berat setiap keping ialah 31.10 gram. Nilai muka duit syiling ini ialah RM10 dan harga jualannya RM230 sekeping. Sebanyak 700 keping sahaja ditempa.

2. Duit syiling peringatan emas nordic

Nilai muka duit syiling emas nordic ini ialah RM1 dan harga jualannya RM10 sekeping. Sebanyak 13,000 keping sahaja ditempah.

288 dibaca
Berita Harian X