Isnin, 7 Ogos 2017 | 7:30pm
KAMALA Shirin Lakhdhir

Johor bersedia menjadi kuasa ekonomi baharu

JOHOR BAHRU: Johor mempunyai potensi untuk menjadi kuasa ekonomi di Malaysia serta rantau ASEAN kerana negeri itu menerima pelaburan antara yang tertinggi di Malaysia.

Iklim perniagaan yang sihat dan kewujudan tenaga kerja berkualiti di negeri itu oleh penggiat industri akan menarik lebih banyak pelaburan asing pada masa depan, termasuk Amerika Syarikat (AS), kata Duta AS ke Malaysia, Kamala Shirin Lakhdhir.

"Terdapat faktor tertentu yang pelabur AS pertimbangkan, termasuk iklim perniagaan, cukai serta perkhidmatan kerajaan ke kerajaan yang cekap, menyokong dan paling penting, membantu mereka memahami bagaimana untuk membuat pelaburan.

"Semua perkara ini perlu konsisten. Jika berlaku perubahan, mereka mahu mengadakan perundingan antara kerajaan dan syarikat mereka," katanya kepada BERNAMA dalam satu temu bual eksklusif di sini.

Lakhdhir juga berkata, Johor mempunyai tenaga kerja mahir dan berdaya saing yang boleh berkomunikasi dalam bahasa Inggeris.

Berasaskan statistik Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan Dalam Negeri dan Kepenggunaan negeri, Johor mencatat RM33.7 bilion dalam pelaburan asing daripada 2013 hingga 2016, di mana RM4.96 bilion adalah daripada syarikat AS.

Ini termasuk pelaburan dalam kelengkapan saintifik dan pengukuran, produk elektrik dan elektronik, jentera dan kelengkapan, kelengkapan pengangkutan, sektor pembuatan makanan, produk kimia serta getah. - BERNAMA

1618 dibaca
Berita Harian X