Isnin, 7 Ogos 2017 | 5:16pm

Britain kena bayar bil Brexit 40 bilion euro

LONDON: Britain bersedia membayar sehingga 40 bilion euro (RM201 bilion) sebagai sebahagian daripada perjanjian meninggalkan Kesatuan Eropah (EU), lapor akhbar Sunday Telegraph, memetik tiga sumber rundingan berkenaan.

EU mengeluarkan anggaran 60 bilion euro (RM302 bilion) dan mahu kemajuan yang selari dalam menyelesaikan liabiliti Britain sebelum perbincangan bermula mengenai pelbagai isu, termasuk perjanjian perdagangan masa depan.

Jabatan kerajaan yang bertanggungjawab untuk perbincangan Brexit enggan mengulas mengenai artikel itu. Setakat ini, Britain tidak memberikan sebarang petunjuk rasmi mengenai berapa banyak ia sedia untuk membayar.

Akhbar itu melaporkan pegawai Britain mungkin menawarkan untuk membayar 10 bilion euro (RM50 bilion) setahun selama tiga tahun selepas meninggalkan EU pada Mac 2019, sebelum memuktamadkan jumlahnya, di samping rundingan perdagangan lebih terperinci.

Pembayaran hanya akan dibuat sebagai sebahagian daripada perjanjian termasuk perjanjian perdagangan, tambah akhbar itu.

"Kami tahu keputusan (EU) adalah 60 bilion euro, tetapi jumlah sebenar adalah 50 bilion euro. Kami lebih dekat kepada 30 bilion euro, namun zon sebenar adalah 40 bilion euro walaupun orang ramai dan ahli politik belum lagi bersetuju mengenainya," akhbar itu memetik kenyataan satu sumber kanan Whitehall.

Whitehall adalah daerah di London di mana kebanyakan jabatan dan menteri kerajaan ditempatkan.

Sumber kedua berkata, jumlah yang digariskan oleh Britain adalah 30 bilion euro hingga 40 bilion euro manakala sumber ketiga mengatakan Perdana Menteri, Theresa May sanggup membayar 30 bilion euro ke atas, lapor Sunday Telegraph.

Kumpulan kempen pro-Brexit, Leave Means Leave berkata, spekulasi mengenai pembayaran perpisahan itu tidak membantu.

"Dengan rundingan Brexit EU, tiada apa yang dipersetujui sehingga semuanya dipersetujui," kata ketua bersama kumpulan, Richard Tice.

"Fokus sepatutnya untuk mempercepatkan perbincangan dan memuktamadkannya pada penghujung 2017. Ini akan membolehkan sektor perniagaan menyesuaikan diri dalam tempoh 15 bulan menjelang Mac 2019."

Sekiranya Britain tidak dapat memuktamadkan perjanjian keluar, hubungan perdagangan akan diketuai oleh peraturan Pertubuhan Perdagangan Dunia, yang membolehkan kedua-dua pihak mengenakan tarif dan pemeriksaan kastam dan menyebabkan banyak masalah lain yang sukar diselesaikan.

Minggu lalu, Bank of England berkata, ketidakpastian Brexit memberi kesan kepada ekonomi. Sementara itu, Menteri Kewangan, Philip Hammond ingin mengelakkan perniagaan yang tidak menentu. - REUTERS

Berita Harian X