Isnin, 7 Ogos 2017 | 12:16pm

Malaysia sedia laksana mandat biodiesel B10

SHAH ALAM: Malaysia bersedia melaksanakan mandat biodiesel B10 jika tiga isu utama dapat diselesaikan dalam tempoh terdekat ini, kata Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Mah Siew Keong.

Beliau berkata, isu berkenaan adalah mengenai jaminan kenderaan; menangani jurang struktur harga minyak sawit dan diesel serta ujian keselamatan penggunaan bahan api adunan itu seperti yang sedang dilakukan oleh Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).

"Kerajaan kini sedang dalam peringkat akhir perbincangan bersama pihak yang terbabit bagi menjamin kelancaran penggunaannya sebelum membuat keputusan untuk memulakan mandat biodiesel B10.

"Buat masa ini, didapati B10 tidak mendatangkan sebarang masalah memandangkan MPOB sudah melakukan banyak ujian terhadap penggunaannya," katanya pada sidang media Persidangan Biodiesel Sawit Kali Pertama anjuran Persatuan Biodiesel Malaysia (MBA) di sini, hari ini.

Persidangan sulung itu menghimpunkan 140 delegasi daripada industri biodiesel sawit, rakan bersekutu, pihak berkepentingan serta wakil kerajaan tempatan dan luar negara.

Siew Keong berkata, isu utama yang membelenggu mandat biodiesel B10 di Malaysia pada masa ini adalah kekangan jaminan pengeluar kereta yang terhad kepada biodiesel B7.

Berikutan itu, katanya kerajaan sedang berusaha untuk meyakinkan pengeluar kereta bahawa penggunaan biodiesel B10 dan lebih daripada itu termasuk B15 tidak memberikan kesan buruk kepada enjin kenderaan.

"Dengan itu, kerajaan akan dapat meyakinkan pengeluar kereta supaya jaminan kenderaan dapat dilanjutkan kepada B10," katanya.

Dalam masa sama, beliau berkata mempunyai tanggungjawab untuk meyakinkan pengguna mengenai tahap keselamatan penggunaan biodiesel B10.

"Kami perlu menyelesaikan isu ini, buat masa ini kami mempunyai idea untuk melakukannya namun menyerahkan kepada industri untuk menerima penggunaannya," katanya sambil menambah perbincangan bersama pengendali logistik iaitu pengusaha stesen petrol juga sedang giat dilakukan.

Terdahulu dalam ucapannya, Siew Keong berkata, adunan 10 peratus metil ester sawit (PME) bersama diesel sedang dijalankan secara komprehensif dan dinilai oleh lapangan ujian di peringkat domestik serta tahap pematuhan standard adunan biodiesel antarabangsa.

"Sebagai contoh, sejak 2014, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menguji biodiesel di dalam 50 kenderaannya menggunakan adunan 10 peratus PME bersama diesel dan merekodkan jarak perjalanan tiga kilometer tanpa sebarang masalah.

"Justeru, saya yakin bahawa B10 boleh dilaksanakan tanpa sebarang masalah teknikal kepada kenderaan," katanya.

MBA, tahun lalu menganjurkan ekspedisi ke Cameron Highlands untuk menguji 13 kenderaan berlainan model dan jenama menggunakan B10, B20, B50 serta B100. Semua kenderaan tidak mengalami sebarang isu dan ekspedisi ditamatkan dengan lancar.

INFO: Mandat biodiesel B7 bagi sektor pengangkutan bermula pada Disember 2014

Berita Harian X