Khamis, 11 Oktober 2018 | 6:21pm
TOP Glove Corporation Bhd merekodkan keputusan kewangan yang baik pada 2018. - Arkib NSTP

Top Glove catat keuntungan lebih tinggi

KUALA LUMPUR: Top Glove Corporation Bhd, yang merekodkan keputusan kewangan yang baik pada 2018, akan meneruskan pelan peluasan strategiknya bagi memastikan ia berada pada kedudukan yang baik untuk memenuhi pemintaan global yang pesat ke atas sarung tangan dan merealisasikan impian menjadi syarikat Fortune Global 500.

Pengerusi Eksekutifnya, Tan Sri Dr Lim Wee Chai, berkata pembesaran beberapa kemudahan sedia ada, F32 (Fasa 1 & 2 masing-masing siap pada awal dan akhir 2019), F33 (siap pada awal 2019) dan F5A (siap pada akhir 2019), kini berjalan mengikut jadual.

Sementara itu, kilang terbaharunya, F8A, di Thailand, dijadualkan beroperasi pada awal 2020.

“Ini akan meningkatkan jumlah barisan pengeluaran kumpulan itu dengan tambahan 98 barisan dan kapasiti pengeluaran sebanyak 9.8 bilion sarung tangan setahun.

“Menjelang 2020, Top Glove diunjurkan mempunyai 746 barisan pengeluaran dengan kapasiti pengeluaran sebanyak 69.1 bilion sarung tangan setahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Wee Chai berkata, Top Glove juga merancang meluaskan operasinya ke Vietnam, dan telah menandatangani perjanjian untuk mengambil alih sebidang tanah untuk mendirikan kilang yang dijadualkan beroperasi dalam tempoh dua tahun.

Dalam menyokong agenda bertumbuhan tingginya, ia juga akan terus meneroka peluasan tidak organik menerusi penggabungan dan pengambilalihan serta membuka industri baharu yang yang berkaitan supaya dapat berkembang dengan lebih cekap dan cepat.

“Walaupun mencatat prestasi hebat, Top Glove mengambil maklum megenai potensi cabaran yang akan datang termasuk peningkatan kos dan saingan yang terus meningkat.

“Bagaimanapun, ia tetap optimis prospek masa depannya, memandangkan permintaan ke atas sarung tangan global yang stabil, yang akan berkembang pada kira-kira 10 peratus setahun,” katanya.

Syarikat itu hari ini melaporkan keuntungan bersih yang lebih tinggi sebanyak RM437.30 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Ogos 2018 daripada RM328.44 juta yang dicatatkan pada tempoh yang sama pada 2017.

Pengilang sarung tangan getah itu juga mencatatkan hasil yang mencatatkan rekod, sebanyak RM4.21 bilion, meningkat 23.6 peratus, melebihi had RM4 bilion

Suku ke suku yang berakhir pada 31 Ogos 2018, prestasi syarikat itu baik dengan keuntungan bersih sebanyak RM101.98 juta berbanding RM94.05 juta sebelum ini, dan pendapatan meningkat kepada RM1.22 bilion daripada RM902.42 juta sebelumnya.

Top Glove ditutup 20 sen lebih tinggi hari ini kepada RM10.70 dengan 5.68 juta saham bertukar tangan. – BERNAMA

117 dibaca
Berita Harian X