Khamis, 11 Oktober 2018 | 4:56pm
ORANG ramai mengunjungi ruang pameran pada CEPSI 2018 di KLCC. - NSTP/Mohd Yusni Ariffin

TNB sedia kualiti elektrik terbaik kepada pengguna

KUALA LUMPUR: Perubahan gaya hidup masyarakat kepada penggunaan produk berteknologi bijak menjadikan Tenaga Nasional Berhad (TNB) sentiasa memandang ke hadapan untuk menyediakan kualiti elektrik terbaik kepada penggunanya.

Eksekutif Kanan, Tenaga Nasional Berhad (TNB), Mohamad Halil Haron, berkata usaha itu tidak mungkin dapat direalisasikan tanpa beberapa anak syarikat yang bernaung di bawah TNB dan banyak memainkan peranan menuju ke arah perkhidmatan kualiti terbaik kepada seluruh pengguna.

Katanya, TNB yang kini dikelaskan sebagai perkhidmatan sokongan pada peringkat dunia mempunyai kira-kira 9.2 juta pengguna, termasuk Sabah dan Labuan.

"Dalam usaha menuju ke arah itu juga, faktor seperti tarif elektrik berpatutan tetap diutamakan supaya pengguna tidak terasa terbeban.

"Umpamanya penggunaan meter pintar yang dilihat dapat membantu pengguna untuk menguruskan penggunaan elektrik di rumah dan sebagainya dengan lebih efisien.

"Pada masa sama, TNB turut menghantar penyata penggunaan supaya pengguna tahu bagaimana penggunaan tenaga elektrik mereka di rumah.

"Buat masa ini, di Melaka sudah dipasang dengan meter pintar ini dan seterusnya di kawasan Lembah Klang pula," katanya ketika ditemui pada Persidangan Industri Bekalan Tenaga Elektrik 2018 (CEPSI 2018) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini.

CEPSI 2018 adalah persidangan industri bekalan tenaga dan elektrik terbesar dianjurkan di negara ini yang dihoskan TNB bagi pihak Persatuan Industri Bekalan Elektrik Asia Timur dan Pasifik Barat (AESIEAP).


MOHAMAD Halil memberi penerangan kepada pengunjung ruang pameran TNB. - NSTP/Mohd Yusni Ariffin

Lebih 100 pempamer di pameran khusus yang bertemakan Reimagining Utility of the Future.

CEPSI 2018 mengumpulkan pemimpin utama industri dari seluruh dunia untuk melihat beberapa isu penting industri seperti cabaran, strategi, kemapanan, teknologi dan masa depan yang berkaitan dengan tenaga.

Produk solar

Sementara itu, anak syarikat TNB, G Sparx, yang menawarkan produk solar turut menawarkan pelbagai kelebihan dalam usaha menuju ke arah penggunaan tenaga hijau.

Ketuanya, Mohd Yusrizal Mohd Yusof, berkata setakat ini, hanya dua peratus saja penggunaan tenaga hijau dalam kalangan pengguna, dan tidak mustahil ia akan meningkat pada masa hadapan."

Biarpun masih baharu, penggunaan tenaga solar ini pasti akan menarik minat kerana ia menjimatkan dan kos pemasangan juga akan semakin murah.

"Pengguna perlu bayar setiap bulan berdasarkan apa yang dijana oleh solar panel dan tarif mengikut persetujuan bersama. Malah tarif dikenakan juga rendah antara 20 peratus berbanding TNB.

"Konsep G Sparx ialah membuat pelaburan kepada pemilik bangunan komersial dan serta- merta mendapat solar panel tanpa bayaran pendahuluan. Mungkin selepas ini kita fokus untuk rumah persendirian pula," katanya.

65 dibaca
Berita Harian X