Khamis, 11 Oktober 2018 | 4:04pm
GAMBAR fail, Ketua Pegawai Eksekutif Ekuinas, Syed Yasir Arafat Syed Abd Kadir (kanan). - Foto Aizuddin Saad

Ekuinas lupus 60 peratus pegangan dalam Tranglo

KUALA LUMPUR: Ekuiti Nasional Bhd (Ekuinas) melupuskan pegangannya dalam Tranglo Sdn Bhd (Tranglo) kepada TNG FinTech Group Inc (TNG).

Ketua Pegawai Eksekutif Ekuinas, Syed Yasir Arafat Syed Abd Kadir, berkata pihaknya sudah mencapai perjanjian untuk menjual 60 peratus pegangan dalam Tranglo bernilai RM114.9 juta.

Syed Yasir berkata, hasil jualan itu akan menjana Kadar Pulangan Dalaman (IRR) sebanyak 26.8 peratus dan bersamaan 1.96 kali daripada modal yang dilaburkan.

“Ini adalah pelupusan kesembilan Ekuinas dengan jumlah hasil direalisasikan syarikat sehingga kini mencecah lebih RM2 bilion.

“Pemilihan TNG dibuat selepas proses jualan teliti yang menarik minat beberapa syarikat global. Syarikat ingin memastikan rakan kongsi baharu Tranglo akan terus menjadi pemangkin perniagaan mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Syed Yasir berkata, industri teknologi, media dan telekomunikasi (TMT) kini berhadapan persaingan sengit yang digugat oleh beberapa peserta baharu dalam bidang teknologi kewangan (Fintech).

Beliau berkata, keputusan melupuskan perniagaannya itu berasaskan beberapa pertimbangan yang sejajar dengan strategi syarikat merealisasikan nilai aset.

Selain itu katanya, ia bagi mengenal pasti rakan strategik yang mampu melonjakkan perniagaan ke fasa pertumbuhan yang seterusnya.

“Tranglo menerajui pasaran transaksi mudah alih melalui perkhidmatan pemindahan masa berbual dan transaksi kiriman wang di kebanyakan negara.

“Sepanjang tempoh pelaburan, Ekuinas bekerjasama rapat dengan Tranglo meluaskan rangkaian pemindahan masa berbual dan pemindahan wang.

“Dari segi prestasi, Tranglo berjaya meningkatkan jumlah pemindahan wang sebanyak 15 kali ganda sejak pemerolehan Ekuinas dan yakin Tranglo akan meneruskan prestasi kukuhnya dalam beberapa tahun akan datang,” katanya.

125 dibaca
Berita Harian X