Khamis, 7 Jun 2018 | 7:09pm
Timbalan Pengerusi UMWT, Akio Takeyama.

UMWT teruskan usaha penggantian beg udara Takata

KUALA LUMPUR: UMW Toyota Motor Sdn Bhd (UMWT) pengedar kenderaan Toyota dan Lexus di Malaysia terus aktif mengendalikan isu penggantian beg udara Takata yang dimulakan sejak 2013.

Timbalan Pengerusi UMWT, Akio Takeyama, berkata pihaknya menyokong penuh usaha kerajaan dalam isu penggantian beg udara Takata.

"Penggantian pengepam beg udara berkenaan adalah sangat penting memandangkan ia boleh menggugat keselamatan pengguna," katanya.

Menurutnya, Toyota Motor Corporation aktif mengatasi masalah ini sejak 2013 dan kami mula mengesan kenderaan yang terjejas serta melaksanakan kempen servis khas di mana pengepam beg udara digantikan tanpa sebarang caj kepada pemilik kenderaan," katanya dalam kenyataan di sini, baru-baru ini.

UMWT berjaya melaporkan kadar penggantian inflator yang tinggi iaitu 91 peratus bagi kenderaan Lexus yang berusia kurang tiga tahun dan 53 peratus bagi kenderaan Toyota berusia kurang enam tahun.

Malah, pihaknya turut menggesa pemilik model lama Toyota dan Lexus untuk segera menukar pengepam beg udara kenderaan masing-masing memandangkan model yang terjejas adalah dari 2001 hingga 2014 (Toyota) dan 2007 hingga 2016 (Lexus).

Sementara itu, Presiden UMWT, Ravindran K, berkata pihaknya turut mengambil langkah untuk memaklumkan pemilik kenderaan untuk ke pusat servis yang sah untuk penukaran percuma.

"Keselamatan adalah keutamaan kami dan kami melakukan pelbagai cara untuk menghubungi pelanggan," katanya.

Menurutnya, pihaknya turut mewujudkan pemeriksa Nombor Pengenalpastian Kenderaan (VIN) di laman webnya bagi memudahkan pemilik memeriksa sama ada kenderaan mereka terbabit dalam kempen ini atau tidak.

Selain pemeriksa dalam talian, pemilik Toyota juga boleh mengetahui mengenai kempen khas yang lain dengan menghubungi Toyota di 1800-8-TOYOTA (869682).

455 dibaca
Berita Harian X