Khamis, 17 Mei 2018 | 5:44pm
Ahli Lembaga Pengurusan BMW AG yang bertanggungjawab untuk Jualan dan Jenama BMW, Pieter Nota

Malaysia sumbang kejayaan besar kenderaan elektrik hibrid BMW

KUALA LUMPUR: BMW Group Malaysia menyasarkan lebih 52 peratus daripada kenderaan yang dihantar di negara ini membabitkan varian kenderaan elektrik hibrid plug-in (PHEV).

Dalam empat bulan pertama 2018, jualan kenderaan BMW Group Electrified di seluruh dunia berjumlah 36,692 unit, pertumbuhan 41.7 peratus dalam tempoh yang sama tahun lalu.

Ahli Lembaga Pengurusan BMW AG yang bertanggungjawab untuk Jualan dan Jenama BMW, Pieter Nota, berkata kini terdapat lebih satu perempat daripada sejuta kereta elektrik Kumpulan BMW berada di jalan raya seluruh dunia.

"Jualan gabungan kereta BMW i, BMW iPerformance dan MINI Electric meningkat 52 peratus pada April (9,831 unit), menjadikan jumlah keseluruhan kereta BMW Group yang dijual lebih 250,000 dan kami berada di landasan untuk mencapai sasaran jualan lebih 140,000 kenderaan elektrik tahun ini," katanya dalam satu kenyataan.

Sehingga April 2018, BMW Group Malaysia menyumbang kepada kejayaan besar ini memandangkan portfolio penghantaran premium PHEV di negara ini menyumbang sebanyak 52.7 peratus daripada keseluruhan penghantaran kenderaannya.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif BMW Group Malaysia, Harald Hoelzl, berkata pihaknya kini mempunyai varian kenderaan PHEV untuk hampir semua model yang menjadikannya portfolio terbesar yang boleh didapati dalam industri automotif Malaysia.

Beliau berkata, kumpulan juga memperluaskan akses kepada kenderaan elektrik dan kemudahan pengecasan kenderaan Plug-In Hybrid di seluruh negara.

"BMW Group Malaysia telah memasang Stesen Pengecasan BMW baharu pertama di Perak iaitu di WEIL Hotel di Ipoh dengan rakan niagan kami Tian Siang Premium Auto; Holiday Inn Melaka dan The Equatorial Melaka yang juga pertama di Melaka dengan Seong Hoe Premium Motors; dan di CityONE Megamall Kuching, dengan Regas Premium Auto Sarawak," katanya.

Sementara itu, dalam memacu masa depan kenderaan elektrik di Malaysia, BMW Group Malaysia turut mempamerkan BMW i3, kereta elektrik paling laris dalam segmen kompak premium di seluruh dunia pada 2018.

109 dibaca
Berita Harian X