Rabu, 16 Mei 2018 | 10:17pm

Untung bersih IOI naik kepada RM2.07 bilion pada suku ketiga

KUALA LUMPUR: Keuntungan bersih IOI Corp Bhd bagi suku ketiga berakhir 31 Mac 2018 meningkat kepada RM2.07 bilion berbanding RM305.4 juta dicatatkan dalam suku sama sebelum ini.

Perolehan bagi tempoh itu, bagaimanapun merosot kepada RM2.31 bilion berbanding RM2.34 bilion.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, kumpulan itu berkata keputusan lebih baik itu disebabkan sumbangan lebih tinggi daripada segmen pembuatan berasaskan sumber dan keuntungan diraih daripada pertukaran mata wang asing bersih yang lebih tinggi bagi pinjaman dalam nilai mata wang asing sebanyak RM201.9 juta berbanding RM91.2 juta dalam suku sama tahun lalu.

"Kami turut menyaksikan keuntungan sebanyak RM1.72 bilion daripada operasi yang telah dihentikan termasuk RM1.66 bilion daripada penjualan 70 peratus kepentingan ekuiti dalam pengeluar berasaskan sumber Loders Croklaan Group B.V.," kata IOI Corp.

Kumpulan itu juga berkata, prospek bagi harga minyak sawit bercampur dengan faktor peningkatan pengeluaran bermusim yang tidak menggalakkan dan diimbangi oleh China mengenakan tarif ke atas import kacang soya dari Amerika Syarikat (AS) dan pengukuhan semasa dolar AS.

"Dengan aliran berterusan kumpulan itu bagi pengeluaran kelapa sawit yang lebih tinggi, prestasi segmen perladangannya dijangka memuaskan pada suku keempat tahun kewangan 2018," katanya.

-- BERNAMA

235 dibaca
Berita Harian X