;
Rabu, 16 Mei 2018 | 8:40pm
PENGARAH Urusan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), Datuk Badlisham Ghazali. - Foto Aizuddin Saad

MAHB mahu kembangkan sayap di Asia dan Eropah

KUALA LUMPUR: Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) sedang berusaha untuk menambah portfolio pengurusan lapangan terbangnya di rantau Asia dan Eropah.

Pengarah Urusannya, Datuk Badlisham Ghazali, berkata selaku pengendali yang menguruskan lapangan terbang di Turki dan Qatar, MAHB kini sedang mengenalpasti lapangan terbang luar yang berpotensi menerusi model penswastaan.

"Sasaran utama kita adalah rantau Asia. Terdapat banyak peluang memandangkan negara jiran di ASEAN mula mengambil langkah untuk menaik taraf dan terus meninjau model yang berbeza bagi penswastaan.

"Kami mahu meneliti lebih mendalam peluang ini. Malah, di Jepun juga mempunyai pelan untuk penswastaan lapangan terbang," katanya kepada Bisnes NSTP dalam satu temu bual, di sini, baru-baru ini.

MAHB menguruskan Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gokcen (ISGIA) di Turki sejak 2008 dan mula menyediakan perkhidmatan kemudahan penyelenggaraan di Lapangan Terbang Antarabangsa Hamad di Doha, Qatar pada April 2015.

Syarikat itu yang juga menguruskan 39 lapangan terbang lain di Malaysia, baru-baru ini mengumumkan menjual keseluruhan 11 peratus kepentingan di GMR Hyderabad International Airport Ltd kepada GMR Airports pada nilai tunai AS$76.05 juta (RM301 juta) pada hujung Februari tahun ini.

Badlisham berkata, MAHB turut berminat untuk menguruskan lapangan terbang di Asia khususnya sub benua India, ASEAN dan Asia Utara.

Beliau berkata, potensi dalam pengambilalihan aset tidak hanya tertumpu kepada pembelian kepentingan lapangan terbang, namun turut menawarkan servis dan pengurusan fasiliti bagi operasi lapangan terbang yang menarik.

"Di Eropah, MAHB akan meneliti aset yang matang, bagaimanapun ia masih dalam peringkat penilaian. Bagi Eropah, kami sudah biasa dengan beberapa peristiwa di negara tertentu dan kami sedang berbincang dengan rakan kerjasama ke arah peluang ini.

"Kami juga diminta untuk meneroka pasaran membangun di Asia Barat, namun buat masa ini ia tidak akan dilaksanakan lagi," katanya.

Mengenai perancangan untuk mewujudkan anak syarikat antarabangsa MAHB yang akan dikenali sebagai Malaysia Airports International Sdn Bhd, Badlisham berkata, keputusan akan dimuktamadkan pada hujung tahun ini dan ia bergantung kepada kelulusan lembaga pengarah.

"Kami mahu membina anak syarikat bagi menguruskan aset antarabangsa MAHB. Unit antarabangsa ini akan menyelia operasi MAHB di Turki dan lapangan berpotensi lain pada masa akan datang," katanya sambil menambah unit terbabit akan berpangkalan di Malaysia.

Sementara itu, mengenai pelan untuk melupuskan pegangan minoriti di lapangan terbang di Turki, Badlisham berkata, pihaknya sedang menilai rakan kerjasama strategiknya memandangkan konsesi itu sah sehingga 2034.

"Kami ingin memuktamadkannya secepat mungkin, namun perkara itu tidak boleh dilakukan secara terburu-buru. Aset ini adalah sesuatu yang menarik dan nilainya turut meningkat.

"Lapangan terbang terus dirangsang oleh pertumbuhan antarabangsa dengan perjalanan global yang terus meningkat. Ini adalah cadangan yang menarik bagi kami, penumpang dan syarikat penerbangan serta pelabur," katanya.

Badlisham berkata, ISGIA disifatkan sebagai lapangan terbang yang "agak menarik" kerana ia berpotensi menjadi lapangan terbang bandar untuk Istanbul, dengan menyatakan kerajaan Turki dijangka membuka lapangan terbang baharu di utara negara itu dan menutup lapangan terbang utamanya, Lapangan Terbang Atatürk Istanbul .

141 dibaca
Berita Harian X