Rabu, 16 Mei 2018 | 6:53pm
PENGERUSI Persatuan Industri Komputer dan Multimedia Malaysia (PIKOM), Ganesh Kumar Bangah. - Foto Salhani Ibrahim

PIKOM lancar Platform Sea Dragon Venture

KUALA LUMPUR: Persatuan Industri Komputer dan Multimedia Malaysia (PIKOM) melancarkan Dragon Venture Platform Asia Tenggara (SEA), satu inisiatif yang bertujuan untuk menghubungkan syarikat skala besar di Malaysia dan seluruh Asia Tenggara dengan pemodal teroka global, pelabur korporat dan individu kaya.

Pengerusinya, Ganesh Kumar Bangah, berkata inisiatif itu dicetuskan daripada hakikat bahawa kekurangan dana dan pendedahan awam adalah antara beberapa halangan terbesar yang dihadapi oleh syarikat-syarikat dalam peringkat pengembangan.

"Menerusi platform ini, kita dapat melihat beberapa syarikat yang menerima pembiayaan sehingga AS$25 juta," katanya dalam satu kenyataan.

Dragon Venture Platform SEA PIKOM membabitkan dua kategori pembiayaan, iaitu Siri A: AS$1 juta (RM3.96 juta) hingga AS$3 juta (RM11.89 juta) dan Siri B/C: AS$3 juta (RM11.89 juta) hingga AS$25 juta (RM99.04 juta) atau lebih.

Dragon Venture Platform SEA, yang anjuran bersama PIKOM dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) sebagai rakan strategik, terbukti menjadi inisiatif yang bermanfaat, dan berjaya menarik 170 permohonan.

Namun hanya 32 syarikat disenarai pendek dan akan diberikan peluang untuk terus bergerak kepada lebih 40 pemodal teroka, pelabur dan individu kaya, bernilai tinggi.

"Daripada 32 yang memasuki senarai akhir selepas proses pemilihan selama dua bulan menerusi empat pusingan, kira-kira enam puluh peratus daripadanya terdiri daripada rakyat Malaysia.

"Syarikat akan menemui pelabur yang aktif melabur dalam pasaran ASEAN, China dan Asia Utara dan terus mengenal pasti syarikat yang mempunyai idea dan strategi tepat untuk melabur," kata Ganesh. - BERNAMA

60 dibaca
Berita Harian X