Rabu, 16 Mei 2018 | 6:45pm

CCMB akan melupuskan kepentingan dalam PanGen

KUALA LUMPUR: Chemical Company of Malaysia Bhd (CCMB) merancang untuk melupuskan keseluruhan kepentingan ekuitinya yang bersamaan 806,450 saham atau 8.39 peratus dalam PanGen Biotech Inc (PanGen) yang disenarai di KOSDAQ Korea Selatan, kepada CCM Duopharma Biotech Bhd membabitkan RM59.16 juta.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, CCMB berkata kepentingan ekuiti dalam PanGen tidak lagi strategik kepada syarikat itu susulan pemisahan CCMD daripada CCMB Group.

Katanya, cadangan pelupusan itu juga selari dengan strategi CCMB untuk melupuskan aset-aset bukan teras memandangkan kumpulan berkenaan tidak lagi terbabit dalam perniagaan farmaseutikal, selain menyediakan peluang kepada syarikat untuk memanfaatkan nilai jualan sahamnya, dengan keuntungan digunakan untuk mengurangkan pinjaman bank.

Jika tidak masalah, cadangan pelupusan itu dijangkakan selesai pada pertengahan Jun 2018.

Pelupusan itu tidak memberi sebarang kesan ke atas modal saham dan pemegang kepentingan pemegang saham utama CCMB.

- BERNAMA

74 dibaca
Berita Harian X