Rabu, 16 Mei 2018 | 3:38pm
PENGARAH Urusan Kumpulannya, Wong Ah Chiew

Willowglen sasar tempahan kontrak RM500 juta tahun ini

Foto:

KUALA LUMPUR: Willowglen MSC Bhd menjangkakan tempahan kontrak bagi pelbagai projeknya pada tahun ini mampu mencecah sehingga RM500 juta selari dengan tinjauan dan keyakinan pasaran yang positif.

Pengarah Urusan Kumpulannya, Wong Ah Chiew, berkata menerusi bidaan itu, syarikat akan terus memberikan tumpuan terhadap segmen kawalan penyeliaan dan perolehan data (SCADA) dan sistem bersepadu keselamatan dalam bidang tenaga, pengangkutan, air dan rawaran air kumbahan serta projek hartanah.

Beliau berkata, pihaknya juga akan mengukuhkan operasi dari segmen automasi dan penyelesaian pintar bagi pelanggan yang mahu mengurangkan kesan akibat kekurangan buruh dan pekerja berusia.

"Setakat ini kumpulan menjangkakan tempahan kontrak mampu mencecah sehingga RM500 juta yang mana syarikat sentiasa optimis untuk memperolehnya dengan prestasi ketika ini.

"Malah, pendapatan dari segmen penyelenggaraan sistem pemasangan juga akan terus menyumbang kepada sebahagian perolehan Kumpulan pada masa akan datang," katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) dan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) syarikat itu di sini, hari ini.

Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2017, kumpulan mencatatkan peningkatan perolehan sebanyak 17.72 peratus kepada RM155.39 juta berbanding RM132 juta pada tahun sebelumnya.

Wong berkata, bagi suku yang akan datang pada tahun kewangan 2018, pihaknya terus yakin untuk mencapai keuntungan yang mana buku tempahannya merekodkan projek berjumlah RM130 juta.

Tambahnya, pihaknya turut memperuntukan RM3.25 juta bagi penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang akan memfokus kepada produk serta perisian baru untuk kemampanan kumpulan.

Mengulas mengenai kehadirannya di pasaran global, selain Singapura dan yang memberi sumbangan signifikan kepada pertumbuhan syarikat, pihaknya turut meninjau pasaran di Vietnam.

"Bagaimanapun, usaha untuk operasi di Vietnam masih di peringkat awal dan perlu pelbagai strategi bagi memastikan ia mampu untuk dilaksanakan secara cekap.

"Kami juga meninjau bagi Filipina namun buat masa ini kami melihat ia bukan pasaran strategik kepada syarikat dan menumpukan kepada operasi sedia ada yang lain seperti Kanada," katanya.

45 dibaca
Berita Harian X