Selasa, 15 Mei 2018 | 8:10pm
AADRIN Azly (duduk, kanan) bersama Naib Presiden Kanan QSR Stores Sdn Bhd, Ling Mee Jiuan (kiri) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Petronas dan QSR Brands (M) Holding Bhd sambil diperhatikan oleh Timbalan Presiden Pemasaran Aliran Petronas Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Tahir (belakang, dua, kanan) di Kuala Lumpur hari ini. - Foto BERNAMA

50 cawangan KFC pandu lalu di stesen Petronas dalam tiga tahun

KUALA LUMPUR: Petronas Dagangan Bhd (PDB) menyasarkan untuk membuka 50 cawangan restoran KFC pandu lalu di stesen Petronas seluruh negara dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Ketua Bahagian Perniagaan Runcitnya, Aadrin Azly, berkata pada masa ini terdapat 15 restoran KFC pandu lalu sedia ada di stesen Petronas daripada 100 restoran KFC konsep sama terdapat di seluruh negara.

"Untuk tahun ini, kami berhasrat untuk membuka dua restoran KFC pandu lalu di lokasi yang akan diumumkan kelak," katanya pada majlis menandatangani memorandum persefahaman antara PDB dan QSR Brands (M) Holdings Bhd (QSR Brands) di sini, hari ini.

Perjanjian antara kedua-dua pihak itu menyaksikan Petronas akan menawarkan produk KFC serta perkhidmatan pandu lalu kepada lebih ramai pelanggan Petronas di seluruh negara melalui pembinaan restoran KFC pandu lalu.

Beliau berkata, pihaknya akan memperuntukkan jumlah pelaburan tertentu untuk membuka restoran KFC pandu lalu yang membabitkan stesen Petronas sedia ada atau baharu bergantung kepada potensi lokasi dan permintaan dalam kalangan pelanggan.

"Kami berhasrat untuk membuka lebih banyak restoran KFC pandu lalu terutama di luar Lembah Klang membabitkan lokasi seperti di Sabah dan Sarawak serta Pantai Timur Semenanjung," katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan QSR Brands, Datuk Mohamed Azahari Mohamed Kamil, berkata kerjasama strategik bersama PDB itu membuka peluang baik kepada syarikat dalam usaha untuk memperluaskan perniagaan dan perkhidmatan restorannya bagi tempoh tiga tahun akan datang.

"Sebagai peneraju pasaran dalam segmen perkhidmatan restoran makanan segera di Malaysia, kami mahu perkhidmatan kami sentiasa mudah diperolehi oleh pelanggan dan kami berharap kerjasama ini akan membantu kami dalam melebarkan lagi jaringan perniagaan bersama prestasi unggul Petronas di seluruh negara," katanya.

361 dibaca
Berita Harian X