Isnin, 16 April 2018 | 1:41pm
PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyaksikan pertukaran dokumen MoU antara Ketua Pengarah MARA, Datuk Azhar Abdul Manaf (kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif MAG, Izham Ismail di Subang. - Foto Syarafiq Abd Samad

MAG, MARA meterai MoU untuk dana latihan juruterbang

KUALA LUMPUR: Malaysia Aviation Group (MAG) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Majlis Amanah Rakyat (MARA) bagi menyediakan sokongan pembiayaan untuk juruterbang kadet menerusi program latihan juruterbang kadet MAG.

Ketua Pegawai Eksekutif MAG, Izham Ismail, berkata kumpulan pertama kadet akan diambil dari Malaysian Institute of Aviation Technology UniKL.

"Usaha sama ini akan memberi peluang kerjasama yang hebat dengan MARA dalam membangunkan dan mendidik generasi baharu juruterbang kadet dan bakat yang akan dijamin mendapat pekerjaan dalam syarikat penerbangan kumpulan itu selepas tamat latihan.

"Langkah ini penting ketika MAG terus meluaskan operasi dan kembali mencatat keuntungan," katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

MAG diwakili Izham, manakala MARA oleh Ketua Pengarahnya, Datuk Azhar Abdul Manaf, pada majlis bertukar-tukar dokumen MoU, disaksikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Pengerusi MAG Tan Sri Md Nor Yusof dan Pengerusi MARA, Datuk Dr Awang Adek Hussin.

Menerusi usaha sama itu, Izham berkata, juruterbang kadet yang disenarai pendek oleh MAG akan mengikuti latihan di sekolah-sekolah penerangan terpilih di Malaysia, dan dibiayai MARA.

Kadet-kadet berkeranan akan meneruskan latihan di Akademi Malaysia Airlines Bhd di Subang, hab pengajian penerbangan serantau, yang menawarkan program dalam semua operasi penerbangan dan pengurusan.

Izham berkata, kadet itu akan diambil bekerja oleh Malaysia Airlines, Firefly atau MASwings selepas menamatkan program itu dengan jayanya. -- BERNAMA

447 dibaca
Berita Harian X