Rabu, 14 March 2018 | 7:23pm

Untung bersih suku ketiga Glomac RM3.39 juta

KUALA LUMPUR: Keuntungan bersih Glomac Bhd bagi suku ketiga berakhir 31 Januari 2018 berjumlah RM3.39 juta, berbanding RM5.33 juta pada suku sama tahun lalu.

Pendapatan, bagaimanapun meningkat kepada RM105.13 juta daripada RM87.49 juta sebelumnya, berikutan sumbangan daripada tiga pembangunan semasa iaitu rumah berkembar Saujana KLIA di Dengkil, Lakeside Residences di Puchong dan perbandaran Saujana Perdana di Sungai Buloh, katanya dalam satu kenyataan di Bursa Malaysia, hari ini.

Pengerusi Eksekutif Kumpulan, Tan Sri Mohamed Mansor Fateh Din, berkata 90 peratus daripada pelancaran baharu yang disasarkan Glomac dalam tahun kewangan semasa adalah pembangunan bertanah, terdiri daripada rumah teres, berkembar dan mampu milik yang keseluruhannya bernilai RM542 juta.

"Sejajar dengan persekitaran semasa pasaran, kami mengekalkan strategi pembangunan, iaitu menumpukan kepada permintaan pasaran meluas.

"Setakat ini, pelancaran baharu dalam segmen ini diterima dengan amat baik dan momentum ini dijangka berterusan pada masa akan datang," katanya.

-BERNAMA

117 dibaca
Berita Harian X