Rabu, 14 March 2018 | 6:20pm
LIM Eng Hee (kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif, Bottling Investment Group Singapura-Malaysia-Brunei, The Coca-Cola Company, Gareth McGeown selepas majlis menandatangani perjanjian antara MBO Cinemas dan Coca-Cola di The Starling Mall. - Foto Halim Salleh

MBO Cinemas rancang buka lebih banyak pawagam

PETALING JAYA: MCAT Box Office Sdn Bhd (MBO Cinemas), rangkaian pawagam ketiga terbesar di Malaysia sedang meninjau peluang untuk meluaskan pasarannya ke Terengganu dan Pulau Pinang dalam tempoh 12 bulan akan datang.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Lim Eng Hee berkata, syarikat itu kini dalam proses rundingan dengan pemaju pusat beli-belah di negeri terbabit untuk bekerjasama membuka cawangan baharu MBO Cinemas.

Menurutnya, kos purata bagi pembukaan setiap pawagam baru adalah antara RM15 juta hingga RM17 juta bergantung kepada saiz dan lokasi pawagam.

"Apa yang boleh saya katakan adalah projek di Terengganu dan Pulau Pinang ini hanya bermula pada 2019," katanya pada majlis menandatangani perjanjian antara MBO Cinemas dan Coca-Cola di sini, hari ini.

Sehingga kini, MBO Cinemas adalah rangkaian pawagam ketiga terbesar di Malaysia dengan 27 pawagam dan 213 skrin panggung di 10 negeri seluruh negara.

Mengulas lanjut mengenai perancangan 2018, beliau berkata, pihaknya sudah memperuntukkan kos berjumlah RM52 juta untuk membina pawagam baharu pada tahun ini melalui kerjasama dengan pemaju pusat beli-belah.

Menurutnya, pembukaan tiga pawagam baharu dilihat tepat bagi membolehkan syarikat itu terus berkembang dalam industri terbabit.

"Kami memang ingin membuka lebih daripada tiga pawagam pada setiap tahun namun ia agak sukar kerana kos yang kurang efektif dan memerlukan pasukan lebih besar," katanya.

Sementara itu, MBO Cinemas menandatangani perjanjian dengan Coca-Cola Malaysia bagi menawarkan rangkaian minuman keluaran Coca-Cola di 27 pawagamnya di seluruh negara.

Perjanjian konsesi minuman baru membabitkan tempoh selama empat tahun itu akan menyaksikan MBO Cinemas menawarkan 13 rangkaian produk minuman halal keluaran Coca-Cola Malaysia seperti Coca-Cola Classic, Sprite dan Fanta.

444 dibaca
Berita Harian X