Rabu, 14 March 2018 | 4:44pm

MAHB mahu besarkan terminal, bukan bina KLIA3

KUALA LUMPUR: Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) menjelaskan pembinaan terminal baharu atau KLIA3 tidak akan dibina dalam tempoh lima tahun seperti yang disiarkan media.

Syarikat itu dalam kenyataan hari ini berkata, tempoh itu merujuk kepada pengembangan terminal utama Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), termasuk proses pengubahsuaian dan naik taraf sistem.

Ia berkata, kenyataan Pengarah Urusannya, Datuk Badlisham Ghazali di majlis pecah tanah kemudahan Senior Aerospace semalam, sudah disalah petik.

"Tiada rancangan segera untuk membina terminal ketiga di KLIA seperti dinyatakan beberapa akhbar utama hari ini.

"Ketika ini, KLIA dan klia2 mampu menampung 75 juta penumpang setahun dan tahun lalu, kedua-dua lapangan terbang sudah mengendalikan sehingga 58.6 juta penumpang.

"Ini bermakna, lapangan terbang ini secara keseluruhan masih mempunyai kapasiti mencukupi untuk menampung pertumbuhan trafik pada masa depan," katanya.

Bagaimanapun tambahnya, terminal utama KLIA yang berusia 20 tahun sudah menghampiri kapasiti 30 juta penumpang.

Sehubungan itu, katanya rancangan sudah dilaksanakan bagi menaik taraf dan mengembangkan terminal itu bagi memastikan ia mampu menampung tambahan 15 hingga 20 juta penumpang.

"Antara kemudahan yang sudah dikenalpasti untuk ditambahbaik dan dinaiktaraf ialah sistem pengendalian bagasi dan Aerotrain.

"Terminal sedia ada ini akan dikembangkan dan diubahsuai bagi meningkatkan keberkesanan dan kemudahan seperti pintu masuk dan parkir kapal terbang.

"Kerja menaiktaraf dan pengembangan ini akan siap dalam tempoh lima tahun akan datang," katanya.

490 dibaca
Berita Harian X