Rabu, 14 March 2018 | 3:56pm

PETRONAS tandatangani perjanjian membekal LNG kepada Tokyo Gas

KUALA LUMPUR: PETRONAS menerusi anak syarikatnya, Malaysia LNG Sdn Bhd (MLNG) memeterai Perjanjian Induk (HOA) dengan Tokyo Gas Co. Ltd. untuk membekalkan gas asli cecair (LNG) bagi tempoh sehingga 13 tahun.

Di bawah syarat-syarat perjanjian itu, bekalan kepada Tokyo Gas yang bermula pada April 2018 adalah kira-kira 0.5 juta tan setahun bagi tempoh enam tahun pertama, dengan kemungkinan peningkatan volum sehingga 0.9 juta tan setahun untuk tempoh lanjutan.

Naib Presiden Pemasaran dan Perdagangan LNG PETRONAS, Ahmad Adly Alias, ​​berkata PETRONAS kekal komited untuk memberikan bekalan LNG yang boleh dipercayai menerusi operasi bersepadu yang membolehkan penyelesaian untuk jangka panjang dan jangka pendek bagi pelanggannya.

"HOA ini adalah bukti kekuatan dan kebolehpercayaan PETRONAS dalam menyediakan penyelesaian yang fleksibel untuk menampung keperluan pembeli yang berbeza," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Dengan perjanjian baharu itu, PETRONAS menerusi MLNG terus meningkatkan hubungan perniagaan 35 tahun dengan Tokyo Gas.

Pada Oktober tahun lalu, ia melakukan penghantaran kargo ke-10,000 ke syarikat gas Jepun itu.

"Di PETRONAS, kami menghargai hubungan ini dan kepercayaan yang diberikan terhadap syarikat kami untuk bekalan LNG yang selamat dan boleh dipercayai," tambah Ahmad Adly.

MLNG mengendalikan Kompleks LNG PETRONAS di Bintulu, Sarawak, satu daripada kompleks LNG terbesar di dunia yang beroperasi di tapak tunggal.

Kemudahan yang mempunyai sembilan saluran pengeluaran itu mempunyai gabungan kapasiti pengeluaran tahunan kira-kira 30 juta tan.

PETRONAS, pemain LNG global bersepadu dengan lebih 35 tahun pengalaman, mempunyai reputasi yang kukuh sebagai pembekal dan penyedia penyelesaian LNG yang boleh dipercayai.

240 dibaca
Berita Harian X