Rabu, 14 March 2018 | 2:57pm
Lars-Ake Valdemar Norling

Norling lepas jawatan di Telenor, Digi

KUALA LUMPUR: Digi.Com Bhd mengumumkan Lars-Ake Valdemar Norling akan meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah syarikat telekomunikasi itu, selepas beliau meletak jawatannya di Telenor Group.

Norling juga akan melepaskan jawatan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Ganjaran Digi.

"Digi ingin mengumumkan Lars-Ake Valdemar Norling meletakkan jawatannya di Telenor Group. Oleh itu, dia akan meletak jawatan sebagai pengerusi lembaga syarikat dan akan melepaskan jawatannya sebagai Pengerusi Jawatankuasa Ganjaran, apabila calon yang sesuai dikenalpasti.

"Pengumuman akan dibuat apabila calon yang sesuai sudah dikenal pasti," katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia.

Pada jam 12.30 petang, saham Digi berada pada RM4.72 untuk permodalan pasaran sebanyak RM36.7 bilion dengan sebanyak 129,300 saham didagangkan.

Pada Julai tahun lalu, Digi melantik semula Norling sebagai Pengerusi barunya, menggantikan Morten Karlsen Sorby berikutan perubahan organisasi di Telenor.

219 dibaca
Berita Harian X