Rabu, 14 March 2018 | 2:00pm
KERETAPI East Coast Rail Link (ECRL) laluan rel Pantai Timur.
DATUK Seri Darwis Abdul Razak

ECRL wujud pekerja mahir teknologi kereta api

KUALA LUMPUR: Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) akan melatih dan menawarkan pekerjaan kepada 3,600 penuntut yang lengkap dengan kemahiran teknologi kereta api, langkah ditetapkan untuk meningkatkan kebolehan bekerja golongan muda khususnya dari Kelantan, Terengganu dan Pahang.

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), Datuk Seri Darwis Abdul Razak, berkata latihan bagi graduan dan pekerja berkemahiran dalam teknologi rel adalah tepat pada masanya memandangkan projek infrastruktur besar-besaran sedang dilaksanakan di negara ini.

Beliau berkata, mereka boleh diserapkan ke dalam projek berkenaan termasuk Transit Aliran Ringan (LRT) dan Transit Aliran Massa (MRT) serta Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) antara Malaysia dan Singapura.

"Teknologi kereta api sedang berkembang pesat di Malaysia," katanya dalam satu temubual baru-baru ini.

MRL adalah pemilik projek ECRL sepanjang 688 kilometer bernilai RM55 bilion yang menghubungkan Kelantan dan Pelabuhan Klang, Selangor apabila siap pada 2024.

Beliau berkata penting bagi rakyat Malaysia untuk mampu menguruskan dan mengendalikan ECRL selepas pembinaannya.

Darwis berkata Malaysia akan mempunyai lebih banyak pekerja kereta api untuk memenuhi industri itu yang pastinya berkembang pesat, menerusi Program Latihan Kemahiran Industri (PLKI) ECRL seiring tumpuan kerajaan kepada infrastruktur rel.

Program latihan itu, PLKI-ECRL, merupakan hasil kerjasama antara MRL, kontraktor siap guna China Communications Construction Company (CCCC) dan Universiti Malaysia Pahang (UMP).

"Penumpuan kepada bidang reka bentuk dan pembinaan landasan kereta api akan melengkapkan rakyat tempatan dengan kemahiran diperlukan untuk bekerja dalam projek tersebut," katanya.

Katanya, UMP dikenal pasti oleh Kementerian Pendidikan Tinggi sebagai universiti tumpuan untuk​​​​​​​ menyelaras latihan berkenaan.

Sukatan pelajaran program latihan itu dirangka oleh Beijing Jiaotong University dan Southwest Jiaotong ​University, dua universiti terkemuka dari China yang turut berperanan sebagai rakan kongsi latihan​​​​​​​teknologi kereta api CCCC.

Darwis berkata, menerusi PLKI, UMP semakin hampir untuk membangunkan program kejuruteraan kereta api pada masa depan.

ECRL dijangka mewujudkan lebih 80,000 pekerjaan kepada rakyat Malaysia semasa tempoh pembinaannya manakala 6,000 pekerjaan lagi akan ditawarkan semasa pengoperasiannya.

Justeru itu, latihan merupakan bahagian yang penting dalam menyokong projek mega tersebut.

Katanya, sehingga 3,000 penuntut akan dilatih menerusi program itu mulai 2017 hingga 2022 dan ditaja oleh​​​​​​​ CCCC dengan kos RM23 juta.

Darwis berkata kesemua graduan yang dilatih akan diserap oleh MRL, CCCC atau subkontraktornya.

Sejumlah 49 penuntut telah menamatkan pengajian sebagai profesional manakala setakat akhir bulan lepas 138 graduan lagi sebagai pekerja berkemahiran.

Beliau berkata, menjelang akhir tahun ini, program itu melatih 750 pekerja atau 25 peratus daripada sasaran yang dijangka. -BERNAMA

497 dibaca
Berita Harian X